KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak sebarang cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam.
Ia susulan permintaan perwakilan PKR pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 semalam yang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan jawatankuasa pemerhati untuk memantau kakitangan yang tidak menyokong kerajaan Perpaduan.
Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat menegur semua ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta warganya dalam kepentingan politik masing-masing.
Pada masa sama, kata beliau, langkah untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati itu hanya merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.
Adnan menegaskan, usaha sedemikian sepatutnya ditumpukan bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada negara.
Beliau berkata, penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.
“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.
Baca artikel lain: Belanjawan 2024: Penjawat awam Kedah terima RM2,000 bantuan khas kewangan
“Bagaimanapun, dalam konteks demokrasi penjawat awam itu berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuk ketika mengundi pada pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan menegaskan tiada keperluan dan kewajaran bagi kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bagi meninjau kecenderungan politik penjawat awam.
Presiden Cuepacs itu turut bertanya kepada pihak yang melontarkan idea berkenaan sama ada hanya penjawat awam sahaja pengundi dalam negara ini sehingga menjadikannya sebagai perhatian.
“Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu telah menjadi kerajaan pada hari ini.
“Apabila sudah menjadi kerajaan sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam.
“Tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik yang berbeza,” katanya.
Semalam, perwakilan Johor, Haryati Abu Nasir yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Kluang ketika membahaskan ucapan dasar presiden meminta KPM mewujudkan jawatankuasa pemerhati untuk memantau kakitangan yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.
Haryati berkata, situasi itu dilihat kian membimbangkan, sekali gus langkah segera perlu diambil.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

