
KETIKA melalui jalan raya di Kuala Lumpur, perhatikan jika ada garisan panjang berwarna kuning di kiri jalan, lorong paling tepi. Fahamilah, ia adalah laluan khas untuk bas yang kini diperkenal kembali di ibu kota.
Kehadirannya mengulang sejarah kerana laluan sedemikian pernah diwujudkan pada tahun 1990-an sebagai usaha melancarkan pergerakan bas di tengah bandar raya yang sentiasa sibuk dan sesak.
Bagi membezakan laluan ini, dan untuk panduan pengguna jalan raya, sepanjang laluan dicat dengan garisan kuning tebal. Pengguna jalan boleh melihat garisan ini di beberapa tempat. Antaranya di Jalan Pahang dan Jalan Genting Klang.
Syarikat bas Rapid KL juga telah mengumumkan lorong khas bas di Jalan Ampang yang beroperasi pada waktu petang, dari pukul 4.30 petang sehingga 7 malam, bermula 15 November 2023. Yang terlibat ialah laluan 300 dan 303 Rapid KL, iaitu perjalanan antara Jalan Ampang dan pusat bandar.
Laluan khas bas bertujuan melicinkan pergerakan bas, antara pengangkutan awam utama di ibu kota. Seperti sedia maklum, jalan raya di ibu negara sering sesak dengan kenderaan yang menyebabkan pergerakan tidak lancar, terutama pada waktu puncak.
Kerana itu orang ramai yang menaiki bas sering tersangkut dalam kesesakan bersama kenderaan lain. Akibatnya sukar meramal waktu ketibaan bas dan waktu sampai ke destinasi. Ini menyebabkan perkhidmatan bas dianggap tidak efisin dan kerap menimbulkan rungutan pengguna.
Justeru laluan bas mampu mengurangkan rintangan laluan yang dihadapi oleh bas. Kenderaan selain bas dan teksi tidak dibenar memasuki laluan ini sepanjang masa beroperasi, menurut waktu ditetapkan.
Laluan khas bas pertama kali diperkenal pada tahun 1990-an untuk syarikat bas Intrakota. Intrakota ialah syarikat yang mengambil alih perkhidmatan pelbagai syarikat bas di ibu kota yang disatukan.
Langkah ini dilihat usaha proaktif menambah baik sistem pengangkutan awam di ibu negara. Kesannya positif apabila ia mampu melicinkan perjalanan bas dalam kesesakan di Kuala Lumpur.
Kadar masa perjalanan bas lebih terkawal, termasuk waktu tiba ke stesen dan sampai ke destinasi. Pengguna jalan raya menghormati laluan ini dan tidak mengganggu. Namun lama kelamaaan mereka mula tidak peduli. Laluan bas diceroboh, tambahan jika tidak ada penguatkuasaan.
Akhirnya laluan bas khas Intrakota dimansuh. Perkhidmatan bas turut berganti. Rapid Bus mengambil alih perkhidmatan bas di ibu kota daripada Intrakota Komposit dan Cityliner melalui pembelian oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad pada 2003. Operasinya kemudian dialihkan ke Rapid KL pada tahun 2004. Kini Rapid KL merupakan pengendali bas terbesar di Lembah Kelang.
Pemansuhan laluan menyaksikan bas kembali bersesak dengan kenderaan lain di jalan raya. Dengan jumlah kenderaan yang bertambah sepanjang masa, langkah perlu diambil agar bas yang membawa penumpang pergi balik kerja, atau urusan lain, tidak dihimpit kesesakan.
Justeru kini diwujudkan kembali laluan bas di ibu negara. Ia merupakan usaha memenuhi harapan orang ramai yang mahu apabila mereka menaiki bas, tempuh perjalanan dan sampai ke destinasi sentiasa tepat.
Namun sayang sikap segelintir pengguna jalan raya masih tidak berubah. Mereka menceroboh memasuki laluan khas bas. Semua orang hendak cepat. Tetapi pengguna jalan raya perlu tahu peraturan laluan bas itu kini sudah berkuatkuasa.
Sepatutnya mereka lebih peka kerana pelaksanaannya diumumkan melalui media dan pelbagai sumber berita lain. Malah di jalan yang dilalui juga dipaparkan peringatan melalui papan letronik berwarna indah bercahaya. Di atas jalan jelas ditulis ‘Untuk Bas dan Teksi Sahaja’.
Orang ramai wajar menyokong usaha mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih efisen demi menarik orang ramai menggunakannya. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan menggalakkan orang ramai di ibu kota khususnya menggunakan pengangkutan awam.
Sehingga ini hanya perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Sistem Transit Masa (MRT) dan monorel sahaja boleh dianggap efisen. Sebab utama kerana ketiga-tiga sistem ini mempunyai laluan sendiri, tidak bersaing dengan kenderaan lain.
Kerana itu pengangkutan awam di atas jalan sangat perlu ditambah baik untuk ‘memujuk’ orang ramai tidak memandu kenderaan sendiri. Tinggalkan sahaja kenderaan di rumah, gunakan pengangkutan awam. Namun untuk mereka berbuat demikian, pengangkutan awam mesti efisen.
Kurangnya kenderaan bukan sahaja membantu meredakan kesesakan tetapi juga mengurangkan tahap pelepasan karbon. Ini sesuai dengan matlamat Kuala Lumpur bandar raya bebas karbon menjelang tahun 2050. Persekitaran jadi lebih bersih, warga kota menghirup udara segar tanpa pencemaran.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil insiatif menggalakkan kakitangan DBKL menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja atau dalam melakukan aktiviti seharian.
Memang selayaknya kakitangan DBKL berada di barisan hadapan ke arah mencapai matlamat bandar raya bebas karbon memandangkan DBKL ialah pentadbir Kuala Lumpur. DBKL ialah penggerak utama ke arah program 2050 tersebut serta memastikan ia tercapai.
Justeru orang ramai mesti responsif membantu usaha DBKL. Bantulah kerajaan mencapai matlamat memperbaiki khidmat pengangkutan awam agar lebih ramai dan engurangkan pelepasan karbon.
Patuhilah laluan khas untuk bas, usah diceroboh. Jangan hanya patuh kepada peraturan apabila ada penguatkuasaan. Bentuklah diri menjadi rakyat yang memiliki kesedaran sivik tinggi.
Jangan biarkan kehidupan terikat dengan undang-undang dan peraturan. Ertinya hanya patuh apabila dipantau atau tidak mahu berhadapan tindakan penguatkuasaan. Perlu diingat penguatkuasa pun ada banyak tugas lain hendak dibuat.
Peraturan sudah ada, patuhi sahaja usaha baik tanpa mengambil kira dipantau atau tidak. Yang utama kesejahteraan bandara raya dan warga kota. Semua pihak akan hidup tenang dan selesa jika disiplin menjadi pegangan dan amalan seharian.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

