Malaysia umum pengecualian visa untuk pelancong China, India mulai 1 Disember – Anwar

Dari Penulis

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari negara China, India, Turkiye serta beberapa negara teluk memasuk negara ini.

Perdana Menteri berkata, pengecualian itu bagaimanapun tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat mengunjungi Malaysia.

“Saya nak umumkan kemudahan visa, menambah kemudahan sedia ada terutama dari negara teluk dan semua (negara) Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan, pada masa ini menikmati kemudahan pengecualian visa

“Hari ini , saya umumkan tahun depan (sempena) 50 tahun hubungan diplomatik dengan China, untuk sambut semangat ini, mulai 1 Disember ini, kita beri tambahan dari negara Arab, Turkiye dan Jordan, kemudahan kepada negara, rakyat China dan India, pengecualian visa selama 30 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata kemudahan tambahan lain berkaitaan visa itu dijangka diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail esok.

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada China yang melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia mulai 1 Dis ini hingga 30 November 2024.

Sementara itu Anwar yang juga Presiden PKR meminta semua pihak termasuk pembangkang agar tidak memperlekehkan hubungan antarabangsa kerana ia signifikan dalam meningkatkan hubungan strategik dan faedah langsung kepada negara dan rakyat.

Beliau menjelaskan perjalanan (beliau) ke negara luar bukan membazir, malah 90 peratus lawatan disifatkan ‘mesti ditunaikan’ oleh kerajaan seperti Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Setiap perhimpunan ini (ketika lawatan kerja dan lawatan rasmi ke luar negara), kita gerakkan banyak usaha, yang dimulakan Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menghubungi syarikat-syarikat dan membawa pulang pelaburan,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Singapura ditingkatkan dengan membenamkan sentimen serta prasangka lama, dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sangat positif ketika pertemuan Perdana Menteri dengan rakan sejawatannya dari negara itu Lee Hsien Loong.

“Saya menerima perakuan beliau (Lee Hsien Loong), semua hal-hal yang terbantut sama ada soal air, ruang udara atau soal sempadan, kita sudah tunggu berpuluh tahun, harus ada tekad politik untuk selesaikan, dan beri keuntungan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Seterusnya Anwar berkata beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin esok di Sadao, Wilayah Songkhla dalam memastikan perjalanan dua hala rakyat antara kedua-dua negara itu baik dan cekap, selain menggalakkan pelancong dua hala.

Katanya kedua-dua pemimpin bertekad untuk memastikan pembangunan pesat di kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand khususnya di empat wilayahnya, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan keamanan serta kedamaian adil bagi Thailand.

Anwar juga memberitahu kerajaan akan mengambil langkah-langkah segera untuk membaiki kemudahan pengangkutan awam dan lapangan terbang di seluruh negara dalam usaha membawa lebih ramai pelancong luar ke Malaysia.

— BERNAMA

  • Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
  • Ikuti langkah ini:
  • Langkah 1: Layari utusantv.com
  • Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
  • Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
  • Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
  • Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan kekal iktiraf kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

KERAJAAN Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah. Mengulas mengenai perkembangan...

More Articles Like This