PELAKON dan usahawan Wawa Zainal mendedahkan Raf Yaakob ada bertemu dengannya untuk memaklumkan berita perceraian dengan bekas isteri, pelakon Mawar Rashid.
Memetik laporan daripada OhBulan!, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, dia terkejut dan berasa sedih ketika mendapat tahu berita tersebut.
“Saya tidak jangka dia akan bercerai dengan Raf. Mereka adalah pasangan yang sangat serasi dan penyayang.
“Saya dan suami sangat-sangat terkejut dengan berita perceraian Mawar. Raf ada maklumkan kepada saya dan suami sebelum semua orang tahu, saya sedih bila dapat tahu dari dia,” ujarnya.
Dalam pada itu, ujar isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu dia sentiasa mendoakan semoga ada sinar buat Mawar dan Raf untuk kembali bersatu.
“Apa pun mungkin itu adalah keputusan terbaik yang diambil oleh mereka, harap mereka akan kembali bersama.
“Doakan semoga ada sinar untuk mereka berdua kembali bersama,” katanya.
Malah, Wawa turut memaklumkan dia dan suami masih belum berkesempatan untuk berjumpa dengan Mawar dan Raf.
“Selepas bercerai masih tak sempat berjumpa dengan mereka. Tapi sebelum bercerai itu ada jumpa.
“Saya rasa mereka memerlukan ruang dan masa untuk bertenang. Doa saya sentiasa mengiringi mereka,” katanya.
Terdahulu, Mawar dan Raf telah mengumumkan perceraian mereka pada 23 November lalu selepas orang ramai mula menghidu pergolakkan rumah tangga mereka susulan tindakan Mawar memadam semua gambar bersama suaminya di Instagram miliknya.

