SEORANG wanita yang dikenali dengan gelaran Mak Cik Kemboja dan anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini atas pertuduhan menghina orang Melayu.
Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, dan anaknya, Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membuat penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu melakukan kesalahan terhadap mana-mana kaum lain.
Perbuatan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi TikTok dan telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai di Melaka, pada jam 6 petang, 16 November lalu.
Pendakwaan terhadap ibu tunggal tiga orang anak itu dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, anaknya yang masih menyambung pengajian di luar negara didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.
Dia didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok, memulakan penghantaran komunikasi jelik dikeluarkan ibunya dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan tersebut dilakukan antara 14 November hingga 16 November 2023 lalu, menerusi aplikasi TikTok dan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan minimum RM30,000 bagi setiap tertuduh.
Pendakwaan juga mencadangkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes bagi mengelakkan gangguan sepanjang prosiding mahkamah.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Kamal Hisham Ja’afar merayu jumlah jaminan rendah dikenakan terhadap dua beranak itu memandangkan perniagaan yang dijalankan oleh tertuduh terkesan selepas diboikot disebabkan kontroversi berkenaan.
Kamal Hisham turut memohon mahkamah untuk tidak menahan pasport dua beranak itu kerana Mariyah sering ke luar negara bagi urusan perniagaan manakala anaknya pula masih belajar di sebuah universiti swasta di luar negara.
Ahmad Sabri kemudian membenarkan dua beranak itu diikat jaminan dengan jumlah RM15,000 dikenakan terhadap Mariyah dan RM 10,000 terhadap anaknya.
Beliau turut membenarkan semua permohonan termasuk syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

