MKT UMNO pecat Isham Jalil – Laporan

Dari Penulis

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil didakwa telah dipecat daripada parti itu, lapor Berita Harian yang memetik seorang pemimpin UMNO.

Pemimpin itu yang enggan namanya disiarkan berkata pemecatan Isham dibuat semasa Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.

Desas desus pemecatan Isham turut diperkuatkan dengan hantaran media sosial dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan parti lebih tinggi daripada individu.

“Semua keputusan dasar parti ditentukan secara syura dan kolektif bukan individu. Dasar dan Hala-tuju parti hanya boleh diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agong UMNO bukan individu atau mana-mana kepimpinan tertinggi termasuk Presiden.

“Pandangan berbeza dirai dalam mesyuarat, namun mesti menjunjung tinggi prinsip ‘decorum’ adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Memelihara ‘sumpah atas nama Allah’ menyimpan kerahsiaan mesyuarat,” tulis beliau di Facebook malam ini.

Mesyuarat MKT UMNO malam ini dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden UMNO.

Isham dikaitkan dengan mesyuarat hari ini susulan kenyataan Ahmad Zahid yang mengharapkan Isham mempunyai keberanian untuk menghadiri Mesyuarat MKT malam ini, selepas tiga kali tidak menghadirinya.

Beliau bagaimanapun bertegas tidak akan menghadiri mesyuarat MKT malam ini sebagai tindakan protes kepada kepimpinan parti itu.

Isham sebelum ini beberapa kali mengkritik pendirian diputuskan MKT UMNO berkenaan kerjasama dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan, yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini, dalam usaha memperkukuh kerajaan ketika ini.

Sementara itu, Ahli MKT, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang enggan mengesahkan tindakan dibuat MKT UMNO itu sebaliknya mendakwa, Isham sendiri bertindak untuk seolah-olah mahu tindakan dikenakan terhadapnya.

“Bila dia sengaja mengundang untuk diambil tindakan, kalau mahu tindakan itu diambil untuk mempopularkan dia, itu satu tindakan yang tak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau juga berkata, sebagai Ahli MKT, Isham seharusnya sedar akan tanggungjawabnya kepada parti dan mengelak dari mengambil sebarang tindakan yang dilihat sudah membelakangkan partinya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This