PENGACARA dan pelakon Hawa Rizwana, akui teruja dapat sekali lagi menyarung seragam unit bomba dalam drama terbarunya berjudul The Cadets selepas muncul dalam program realiti, Real Men Malaysia: Wira Merah.
Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan berkata dia masih banyak perlu dipelajari dalam bidang lakonan ini dan bersyukur dapat digandingan bersama rakan-rakan artis yang baik.
“Jodoh saya dengan bomba ini memang kuatlah. Baru hari itu saya jadi ‘kakak bomba’ sekarang saya dapat lagi sarung uniform ini.
“Saya baru sahaja masuk bidang ini (lakonan) bulan Januari lalu. Banyak yang kena belajar lagi. Kalau dulu masuk program realiti tak perlu berlakon, ini dah kena berlakon pula. Kadang-kadang itu mereka akan cakap kat saya, Hawa jangan pandang kamera ini berlakon bukan mengacara,” katanyanya sambil ketawa.

Dalam pada itu, aktres berusia 28 tahun itu turut berkongsi rasa gementar apabila mendapat tahu harus memainkan watak seorang pelajar sekolah tingkatan empat.
“Saya nervous la dapat tahu kena jadi budak tingkatan empat balik, itu terus saya beli ‘eye cream’,” ujarnya kepada URTV.
Ditanya mengenai status hubungannya, Hawa tegas dengan pendiriannya itu terus menyimpan erat kisah peribadinya dan memilih untuk tidak berkongsi dengan mana-mana pihak.
“Kalau hal keluarga atau hubungan (cinta), saya memutuskan untuk simpan dan biarkan privasi. Kalau pasal gosip, Alhamdulillah (tiada) sebab mungkin ibu bapa saya sangat-sangat tegas.
“Jadi apa-apa yang saya buat, saya terlebih fikir. Boleh buat itu, ini tak? Hal itu boleh jadi baik dan tak baik sangat. Sebab saya sebelum buat apa-apa jadi takut. Jadi keras, tegang, skema sebab terlalu fikir dan menjaga.
“Tak apa, saya jadi diri sendiri. Setiap kerja atau apa-apa yang saya buat, saya nawaitu pada diri sendiri, buat saja asal jangan kacau atau buat jahat kat orang lain,” ujarnya pada sidang media pelancaran siri The Cadets, di ibu kota, baru-baru ini.
Hawa membintangi siri The Cadets bersama Mierul Aiman, Bella Dowanna dan Fimie Don yang bakal ditayangkan pada 27 Disember di saluran Astro Ceria.

