KOMPOSER dan penyanyi, Amylea Azizan, 37, memberitahu tarikh pernikahannya dengan pegawai bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, 40, bukan sengaja dirahsiakan dari pengetahuan umum.
Sebaliknya, Amylea berkata, tindakan itu terpaksa diambil atas permintaan keluarga yang tidak mahu dia berkongsi tarikh hari istimewa berkenaan demi menjaga hati beberapa pihak, selain juga dianggap ia terlalu peribadi untuk mereka.
Tambahnya lagi, memang ramai terkejut apabila mengetahui dia akan mengakhiri zaman bujang dan melangsungkan pernikahan secara tiba-tiba.
“Secara jujurnya, saya dan Ash memang melalui perkenalan cukup singkat pada tahun ini. Saya sangat bersyukur sebab saya dapat kisah percintaan yang ramai orang inginkan.
“Kisah itu adalah bila kita berjumpa, kita dah kenal, keluarga bersetuju, kita bercinta selepas kahwin. Jadi, sebetulnya, saya mula bercinta dengan Ash selepas dia menyuarakan hasratnya (untuk melamar saya) dan apabila saya setuju. Barulah kami berjumpa.
“Mungkin, ini adalah doa ibu. Saya sebenarnya dah tak mengharapkan dunia perkahwinan. Tapi, tiba-tiba saya jumpa orang sesuai dan suka begini (berkenalan dan berjumpa selepas dilamar),” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Miris’ itu turut berkongsi mengenai percintaan yang dilaluinya dengan suaminya itu sama seperti apa yang dijalani ibu dan arwah bapanya.
“Macam orang dulu-dulu dan saya tahu ada dalam kalangan kawan-kawan saya yang impikan cara perkenalan begini. Sebab, zaman sekarang ini, orang dah kenal dulu lepas itu bercinta lama-lama.
“Saya mengenali Ash daripada seorang kawan melalui media sosial tetapi bukan akaun yang sekarang ini, tapi nama lain. Kemudian dia ada Whatsapp dan dia tidak tahu saya siapa. Sebab dia bukan orang Malaysia. Jadi, senang nak dapat ketelusan daripada dia.
“Sebab saya kenal dengan dia bukan untuk bercinta-cinta dan adakalanya bila dia hubungi, saya tidak angkat telefon,” ujarnya ketika ditemui URTV pada sidang media Muzik Muzik 38 Separuh Akhir (SFMM38) di JioSpace, semalam.
Sementara itu, Amylea turut berkata pada saat ini, dia masih dalam proses mengenali Ash dengan lebih mendalam.
“Kami belum sempat keluar menonton wayang bersama. Memang banyak benda ingin kami lakukan kali pertama sebagai suami dan isteri, termasuklah ambil tahu apa makanan kegemaran dia suka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amylea teruja apabila lagu ciptaannya, Selagi Ku Ada nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali terpilih antara 30 lagu bakal berentap di SFMM38.
Terdahulu, pada 27 November lalu, Amylea mengumumkan pernikahannya dengan Ash kepada pihak media, namun tarikh pernikahan dirahsiakan. Majlis diadakan secara tertutup di kediaman keluarga perempuan yang menyaksikankannya menerima mas kahwin senaskah Al-Quran dan telekung serta hantaran bernilai RM8,888.

