Resipi Ayam Garo Rica ini merupakan hidangan istimewa dari daerah Manado di Sulawesi Utara. Menu ini sangat popular, rasanya sedap dan pedas. Ini ada resipinya, masak sahaja di rumah, sudah tentu lebih enak dan yang pastinya masak dengan penuh kasih sayang. Jom kita masak! Jangan lupa ya… ayamnya perlu direbus bersama serbuk kunyit, garam dan daun limau purut sehingga empuk terlebih dahulu. Selepas itu, barulah digoreng. Dah siap semua sambalnya, hidangkan dengan nasi panas. Waduhhhh…. sedap banget!
AYAM GARO RICA

BAHAN
½ ekor ayam
3 helai daun limau purut
1 sudu besar air limau nipis
Air secukupnya
Sedikit kunyit
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng
BAHAN KISAR
5 tangkai cili padi
3 tangkai cili merah
3 tangkai cili hijau
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
4 biji buah keras
1 batang serai – ketuk
6 helai daun limau purut – hiris halus
Sedikit halia
Sedikit kunyit hidup
Sedikit gula merah
Garam dan gula
Minyak masak untuk menumis
CARA PENYEDIAAN

1.Panaskan air, masukkan daun limau purut, kunyit dan garam sehingga mendidih. Masukkan ayam dan rebus sehingga ayam empuk, jangan sampai isi ayam hancur. Angkat dan tuskan. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga kekuningan. Ketepikan.

2.Di kuali lain, panaskan sedikit minyak. Tumiskan daun limau purut dan serai.

3.Kemudian masukkan ke semua bahan kisar, tumis sehingga naik bau.

4.Masukkan gula pasir, gula merah dan garam secukup rasa. Kacau hingga masak sebati.

5.Masukkan ayam telah digoreng, gaulkan sehingga sebati. Sedia dihidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

