“SAYA bersetuju sepenuhnya bahawa semua Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.”
Itu kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang terkenal dengan kenyataan pedas dan sindiran tajam turut mengatakan individu yang mempunyai gelaran ‘Tun’ itu bukan sahaja perlu disiasat tetapi juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber kewangan masing-masing.
Malah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pihak berkuasa tidak perlu mendapatkan bukti dokumentari tentang salah laku yang dibuat golongan berkenaan.
“Syak wasangka sahaja sudah memadai.
“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka.
“Jika tidak, itu pasti kerana mereka bersembunyi,” katanya dalam hantaran itu.
Walaupun tidak menyatakan secara terbuka, namun kenyataan Dr Mahathir itu dipercayai berkaitan laporan bahawa bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Ia susulan penyitaan Menara Ilham yang dikaitkan dengan tokoh politik tersebut, minggu lalu.
Penyitaan menara itu dikatakan selepas Daim enggan mematuhi permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendedahkan pegangan kewangan dan keluarganya.
Satu notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Baca artikel lain: Daim disiasat atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram – SPRM
Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.
Menara Ilham dibina dengan anggaran kos RM2.7 bilion terletak di kawasan komersial dan hartanah kediaman bertingkat tinggi.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir secara sinis mengatakan rasuah perlu dibanteras dengan apa cara sekali pun.
Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya Peguam Negara (AG) berpandangan bahawa tuduhan tersebut berpunca daripada politik, ia adalah hak AG tidak meneruskan pendakwaan.
Beliau berkata, Malaysia juga merupakan sebuah negara yang benar-benar mematuhi kedaulatan undang-undang dengan pesalah pertama mesti menerima kuasa penuh kedaulatan undang-undang.
“Pasport hendaklah dikembalikan. Ini adalah hak AG. Mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan AG.
“Jika hukuman sebat adalah wajib, maka pesalah hendaklah disebat. Di Malaysia, undang-undang adalah tertinggi. Kita semua mesti mematuhinya,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

