PENULIS artikel yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan sedang dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, usaha mengenal pasti penulis artikel itu merupakan fokus siasatan pihaknya buat masa ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan memanggil mana-mana individu yang dikenal pasti dapat membantu siasatan.
Bagaimanapun, tumpuan utama PDRM ketika ini adalah untuk mengenal pasti terlebih dahulu penulis artikel yang disiarkan di sebuah portal berita dalam talian itu.
“Setakat ini, pihak polis masih mengesan penulis sebenar yang mengeluarkan artikel tersebut seperti mana yang dinyatakan oleh pengadu dalam kes ini,” katanya.
Jumaat lalu, PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan PN cuba memberi rasuah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan.
Baca artikel lain: Satu kertas siasatan dibuka dakwaan PN cuba rasuah Agong
Razarudin memaklumkan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebanyak empat laporan polis telah diterima berhubung isu tersebut.
Sebelum itu, Pejabat Ketua Pembangkang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan dakwaan mengaitkan nama PN dan pemimpinnya cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong seperti tular di media sosial.
Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahmad Ikhwan Fadhli dipetik berkata, laporan polis dibuat bagi membersihkan imej baik Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung PN yang terjejas kerana fitnah yang dilemparkan.
Beliau menegaskan pihak tidak bertanggungjawab sengaja mereka-reka cerita mengenai dana RM1 bilion untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk menuduh pembangkang mendalangi Langkah Dubai supaya berhenti memainkan fitnah itu.
Dakwaan bahawa PN merasuah Yang di-Pertuan Agong itu juga disifatkan sebagai satu fitnah melulu, jelik, keterlaluan dan tidak masuk akal.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut kesal kerana fitnah jahat itu disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan (PH) termasuk yang berjawatan dalam kerajaan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pemimpin PH dan konco-konconya diingatkan supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

