BEKAS vokalis Exist, Mamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada September, lima tahun lalu.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari dan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, memetik laporan Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, pelantun lagu Untukmu Ibu itu didakwa memberi dadah kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Bagi pertuduhan itu, Mamat didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) (b) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat 0.17 gram pada 8 September 2019 pada jam 11.35 malam di Taman Perling.
Pertuduhan kedua dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 12 (3) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam Azlina Abdul Aziz.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, peguam mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, peguam mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari ini untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

