PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri memberitahu, beliau turut berkesempatan menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak itu.
Anwar turut mendoakan supaya pengalaman Wan Junaidi dihargai dan dimanfaatkan rakyat Sarawak.
“Menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Istana Negara yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Tahniah saya ucapkan kepada Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di atas pelantikan ini dengan doa semoga khidmat dan pengalaman panjang Tun dihargai serta dimanfaatkan rakyat terutamanya rakyat Sarawak,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Wan Junaidi yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baca artikel lain: Wan Junaidi dilantik TYT Sarawak baharu, dikurnia gelaran Tun
Wan Junaidi, 77, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.
Pelantikan Wan Junaidi adalah bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.
Pada istiadat sama, Wan Junaidi turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Wan Junaidi dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Feb 1946. Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).
Beliau mula berkecimpung dalam arena politik pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU ke-11 pada 2004 yang berjaya dipertahankannya untuk empat penggal berturut-turut sehingga 2022.
Di peringkat Persekutuan, anak jati Sarawak itu pernah menyandang beberapa jawatan menteri antaranya Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021) selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) (2021 hingga 2022)
Beliau juga pernah dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013 dan Yang Dipertua Dewan Negara pada 2023.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

