“APABILA Tun Tun masuk penjara, maka berjayalah kerajaan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melawan rasuah.”
Demikian sindiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hantaran terbaharu di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Pada masa sama, Dr Mahathir secara sinis turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana telah berjaya ‘mengurangkan’ rasuah di Malaysia.
Beliau mendakwa, rasuah ‘dikurangkan’ dengan menghentikan dakwaan terhadap kesemua 47 kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dengan ini, 47 kes rasuah dikurangkan.
“Rasuah dikurang lagi apabila statutory deklarasi (SD) Datuk Abdul Murad Khalid bahawa Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan (NFA) (Dengan ini RM3 bilion diselamatkan).
“Beberapa wakil rakyat parti pembangkang mengisytihar mereka sokong Anwar kerana dakwaan sokongan dibuat untuk dapat peruntukan wang dari kerajaan. Ini tidak dianggap sebagai rasuah. Sekali lagi rasuah dikurangkan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mendakwa rasuah telah ‘dikurangkan’ apabila tindakan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki berjuta saham tidak dianggap sebagai rasuah kerana adiknya menggunakan akaun beliau.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Tan Sri Azam Baki.
Baca artikel lain: Dr Mahathir dahagakan perhatian – Fahmi
Malah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa banyak nama individu tertentu yang terkandung dalam Kertas Pandora tidak disiasat sama ada terlibat dengan rasuah atau tidak.
“Sesungguhnya rasuah di Malaysia sudah dikurangkan. Ini adalah kejayaan kerajaan PMX.
“Sebaliknya kerajaan PMX sedang siasat Tun Tun yang memiliki kekayaan atau dituduh tanpa bukti memiliki kekayaan.
“Mereka, anak mereka, isteri mereka akan didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari,” dakwa beliau.
Pada masa sama, Dr Mahathir secara sinis mendakwa individu yang telah disiasat SPRM itu akan didapati bersalah kerana gagal mengemukakan resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun.
“Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak. Kenapa Tun Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun.
“Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari SPRM.
“Sebagai kerajaan yang pegang kepada Rule of Law, pemerintahan mengikut undang-undang, mereka boleh dipenjara lima tahun dan denda RM100,000.
“Untuk menentu kesalahan bukti tidak penting. Tuduhan oleh PMX cukup. Demikianlah bertanggungjawabnya SPRM,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

