BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin masih disiasat atas beberapa lagi kes termasuk melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki seperti dilaporkan portal Scoop, hari ini.
Menurut Azam, pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas Daim walaupun beliau telah dihadapkan ke mahkamah melibatkan gagal mengisytiharkan harta, semalam.
Azam memberitahu, Daim sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Selepas pertuduhan itu, siasatan SPRM terhadap beliau (Daim) bagi kes-kes lain diteruskan,” katanya.
Semalam, Daim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta seperti yang dikehendaki SPRM, hujung tahun lalu.
Selain itu, Daim turut gagal mengisytiharkan sebuah akaun bank Amanah Saham Berhad (ASB).
Baca artikel lain: Senarai 70 aset dan harta yang gagal diisytihar Daim kepada SPRM
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut kertas pertuduhan, Daim yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Antara harta yang terlibat termasuk aset akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang selain satu Kedah.
Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan tidak mendedahkan aset, seperti dikehendaki oleh agensi tersebut.
Sabit kesalahan, Daim boleh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

