SESI persekolahan di Kedah diteruskan seperti biasa walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di negeri itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian akan sentiasa memantau keadaan dan menasihati guru serta ibu bapa agar memastikan pelajar sihat semasa tempoh cuaca panas itu.
“KPM memang sentiasa bekerjasama dengan METMalaysia dalam isu cuaca ini, saya mohon ibu bapa dan guru-guru pantau keadaan anak-anak seperti ingatkan mereka agar sentiasa minum air.
“Ada garis panduan yang sentiasa kita ingatkan dari semasa ke semasa supaya dapat tangani isu berkait rapat isu cuaca panas.
Insya-Allah tak ada apa-apa, sikit lagi, empat hari saja lagi (sebelum cuti sekolah bermula),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Sungai Petani, hari ini.
Baca artikel lain: KPM, Kementerian Komunikasi berbincang pemilikan akaun TikTok kanak-kanak
Semalam METMalaysia memaklumkan tiga kawasan terbabit dengan amaran cuaca panas itu ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.
Menurut kenyataan itu, status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius dan dijangka berlaku sekurang-kurangnya untuk tiga hari.
Sementara itu, Fadhlina berkata bagi BAP untuk negeri Kedah, lebih RM45 juta diperuntukkan kepada 302,640 murid di 750 buah sekolah.
Selain BAP katanya KPM turut menyediakan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) untuk semua murid prasekolah KPM, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).
“Kesemua bantuan ini menggambarkan keprihatinan KPM untuk mengatasi isu kemiskinan multidimensi dan dalam masa yang sama menoktahkan keciciran dalam kalangan murid,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

