BEKAS Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kenyataan yang didakwa menghina institusi diraja mengenai kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Ia berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan tempoh pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kenyataan Tony Pua yang didakwa menghina institusi diraja menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Razarudin, kenyataan itu bersifat menghasut orang ramai supaya membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Tony Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan pada pukul 1 tengah hari esok di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: ‘Saya bertaubat, teruja keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib’, Tony Pua sindir Dr Akmal
Sebelum ini, Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara mengeluarkan kenyataan sinis dipercayai sebagai respons terhadap keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan Najib.
Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadab kepada Yang di-Pertuan Agong.
Jumaat lalu, hukuman dan denda yang dikenakan ke atas Najib telah diberikan pengurangan sebanyak 50 peratus.
Perkara itu diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.
Lembaga Pengampunan dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu secara tidak langsung bermakna Najib akan dibebaskan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

