PENSYARAH Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff bertindak menarik balik saman yang dikemukakannya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada tahun 2020.
Perkara itu disahkan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Hannah, beliau mengalu-alukan keputusan yang dilakukan Kamarul Zaman untuk menarik balik saman atas dakwaan ‘fitnah’ pada siaran Facebook pada tahun 2020.
Beliau berkata, Kamarul Zaman telah memfailkan notis pemberhentian di mahkamah pada 30 Januari lalu dengan kos berjumlah RM5,000 dibayar kepada dirinya tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes tersebut.
Hannah menegaskan, beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa telah bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan diri.
“Oleh itu, penarikan balik saman fitnah ini bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga mengesahkan pendirian saya yang teguh bahawa saya tidak mengekspoitasi kaum dan agama dalam kempen saya.
“Ia sekali gus menjadikan tuduhannya terhadap saya tidak berasas,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan hanya mahu melupakan perkara tersebut.
Baca artikel lain: Dana RM5 juta kurangkan beban FAM, boleh diaudit bila-bila masa – Hannah Yeoh
Bagaimanapun, katanya, beliau akan meneruskan saman fitnah terhadap Kamarul Zaman berhubung penulisannya tentang buku ‘Becoming Hannah’ yang ditulis Ahli Parlimen Segambut itu.
Pada September 2020, Kamarul Zaman bertindak memfailkan saman terhadap Hannah susulan kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri itu yang didakwa mengecam dan memfitnah beliau.
Kamarul Zaman berkata, kenyataan Hannah merupakan maklum balas hantaran yang dimuat naik beliau bersama satu poster majlis dialog bersama Ahli Parlimen Segambut itu.
Drama itu bermula semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila Kamarul Zaman menyiarkan sepanduk kempen yang memaparkan Yeoh bersama perkataan “Peranan umat Kristian dalam pembangunan negara.”
Mengulas sepanduk itu, Kamarul Zaman kemudiannya membuat hantaran dengan berkata “Menggunakan agama untuk memenangi pilihan raya negeri?”
Hannah kemudiannya membalas dengan mengatakan ahli akademik itu sengaja mempermainkan sentimen perkauman dan agama.
Beliau memfailkan saman balas terhadap Kamarul Zaman pada tahun 2022 berhubung dua hantaran yang mendakwa dia cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

