KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah memberi kesan domino terhadap negeri-negeri yang menguna pakai peruntukan sama.
Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan, keputusan hari ini merupakan duluan yang secara teori mengikat undang-undang enakmen sama di negeri lain.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, 16 kesalahan yang dibatal di Kelantan tidak secara automatik diisytiharkan sebagai tak sah di negeri-negeri lain kecuali sekiranya ada pihak memohon kepada mahkamah untuk berbuat demikian.
“Persoalannya kalaulah negeri ada undang-undang yang sama kemudian dilaksanakan, dan orang yang ditahan dan dihukum oleh Mahkamah Syariah akan mempersoalkan undang-undang tersebut sebagai tidak sah.
“Kerana apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, tapi kalau tiada orang yang persoalkan (tidak menjadi masalah).
“Cuma itulah Mahkamah Syariah, pihak berkuasa Islam negeri akan rasa serba salah, kerana kalau mereka laksanakan nanti orang akan persoalkan dan bawa ke Mahkamah Tinggi dan sebagainya.
“Akhirnya mereka tidak akan melaksanakan, menguatkuasakan undang-undang yang sama dengan Kelantan. Kesan domino itu akan wujud,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
Baca artikel lain: Anwar bangga badan penguatkuasaan berani ambil tindakan terhadap perasuah, penjenayah
Meskipun perkara ini membimbangkan, Prof Nik Ahmad Kamal melihat, masih ada jalan untuk menyaksikan peruntukan Syariah terus dijalankan di negara ini.
Jelas beliau, antaranya dengan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melihat secara keseluruhan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengubal undang-undang berkaitan Islam.
“Maknanya untuk melihat kembali peruntukan Perlembagaan ini bagaimana untuk disusun balik perkataan-perkataan dalam Jadual ke-9 yang beri kuasa kepada negeri untuk mengubal perundangan berkaitan Islam.
“Satu cara ialah meminda semua undang-undang di negeri-negeri (tadi), maknanya semua DUN negeri-negeri pinda undang-undang yang lebih kurang sama Kelantan supaya ia tidak bertentangan dengan apa dikatakan oleh mahkamah.
“(Proses) ini panjang mungkin, tapi rumit saya rasa tidak sebab mahkamah kata undang-undang ini telah ada di Persekutuan, tak perlulah negeri membuat undang-undang yang sama.
“Pindaan boleh dibuat pada undang-undang negeri untuk ia selaras dengan undang-undang yang ada dalam Persekutuan,” katanya lagi.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli pula membuat keputusan bertentangan.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.
Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

