MESYUARAT Majlis Raja-Raja ke-265 yang diadakan di Istana Negara selama dua hari telah membincangkan beberapa perkara termasuk Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan 2024 berhubung hal-hal kewarganegaraan.
Pada masa sama, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan soal pentadbiran agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Menurut Syed Danial, mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu turut membincangkan isu pelantikan Pengerusi MKI.
Selain itu, pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta cadangan RUU Polis (Pindaan) 2023 turut dibincangkan.
“Majlis (Raja-Raja) telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
“Pada permulaan majlis hari pertama, Sultan Selangor selaku Raja Yang Mempengerusikan Mesyuarat telah bertitah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.
Baca artikel lain: Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265
“Baginda juga turut menzahirkan ucapan tahniah mengalu-alukan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Seterusnya, disahuti ucapan balas oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memandangkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 ini merupakan pertama kali dihadiri Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, Syed Danial memaklumkan, Sultan Selangor telah menzahirkan titah tahniah kepada Seri Paduka Baginda mewakili pihak Majlis, dan seterusnya disahuti dengan titah balas oleh Yang di-Pertuan Agong.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, turut berangkat.
Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat ke hari kedua mesyuarat hari ini dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

