Rogol pembantu rumah: Bekas ADUN Tronoh kekal dipenjara dan 2 sebatan

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Bagaimanapun hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini dikurangkan kepada 8 tahun manakala hukuman dua kali sebatan dikekalkan.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dengan majoriti 2-1.

Turut bersidang bersama Hadhariah ialah Hakim Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu) manakala Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.

Dalam pada itu, ketiga-tiga panel hakim itu turut membenarkan permohonan Paul Yong untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Pada 30 Januari lalu, panel terbabit selesai mendengar hujahan daripada peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul Yong dan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz.

Hisyam ketika berhujah menyatakan anak guamnya telah diprejudiskan apabila tidak diberikan peluang untuk berhadapan dengan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.

Bekas ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong ketika hadir bagi rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara 13 tahun atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hujahnya, Hakim Bicara terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini kerana daripada awal lagi identiti mangsa telah didedahkan dalam kertas pertuduhan.

Sementara itu, Fuad yang mewakili pendakwaan menghujahkan bahawa walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.

“Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya. Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa,” kata pendakwa raya itu.

Sebelum ini pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Paul Yong bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun.

Baca: Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh Paul Yong dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

Susulan sabitan bersalah itu, Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun serta 2 kali sebatan.

Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Paul Yong menyatakan bahawa dakwaan rogol tersebut adalah satu konspirasi politik.

Turut dipanggil sebagai saksi pembelaan ialah isterinya, Too Choon Looi dan bapa saudara mangsa.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This