KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.5 peratus bagi tahun kewangan 2023 dengan jumlah pembayaran RM50.3 bilion.
Manakala, bagi Simpanan Syariah, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.4 peratus untuk tempoh yang sama dengan jumlah pembayaran RM7.5 bilion.
Ia sekaligus menjadikan jumlah pembayaran kesuruhan dividen untuk tahun 2023 sebanyak RM57.8 bilion.
Ia lebih tinggi berbanding 2022, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi Simpanan Syariah.
Baca juga: Penurunan nilai ringgit, simpanan KWSP antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn pada taklimat prestasi kewangan KWSP, hari ini.
Dividen tertinggi yang pernah dibayar oleh KWSP ialah 8.5 peratus pada 1986, manakala dividen terendahnya ialah 5.2 peratus, dibayar pada 2020.
Menurut Ahmad Zulqarnain, untuk tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.
“Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut. Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.
“Aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, naik 13 peratus berbanding RM1,002.67 bilion pada tahun 2022.
“Peningkatan ini merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.78 bilion pada 2022,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

