Seorang wanita warga emas antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang di Taman Permas Jaya malam tadi.
Video penuh klik link di bawah
https://t.me/infoutusantv/4334
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya Pegawai Bomba Kanan II M Haridas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.41 malam tadi dan sebuah jentera Fire Rescue Tender(FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Balai Johor Jaya, dibantu FRT dan EMRS dari BBP Tebrau dengan kekuatan sembilan anggota digegaskan ke tempat kejadian.
Beliau berkata kemalangan itu melibatkan sebuah treler jenis Scania dan tiga buah kereta iaitu jenis Perodua Myvi, Perodua Alza dan Honda Civic.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta Honda Civic iaitu G Murugan, 45, dan (penumpang) wanita warga emas berusia 73 tahun M Kullamah manakala mangsa ketiga ialah pemandu kereta Perodua Alza Chong Chee Ping, 46,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat sementara pemandu Perodua Myvi berusia 40-an dan pemandu treler berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital sama untuk rawatan kecemasan.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat yang mengesahkan kejadian berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan kontena dipandu seorang lelaki tempatan dari arah Tanjung Pelepas menghala ke Pasir Gudang telah terbabas ke sebelah kanan jalan.
“Setelah terbabas, lori tersebut kemudiannya menaiki penghadang di tengah jalan dan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan tiga buah kereta yang datang dari arah Pasir Gudang sehingga menyebabkan tiga mangsa maut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke balai trafik JBS untuk membantu siasatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Nur Fathihah Ismail di talian 010-4171762,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

