BARU-BARU ini di Parlimen, Ahli Parlimen Seputeh yang juga Naib Presiden DAP, Teresa Kok telah membantai Felo Kanan Majlis Profesor Negara merangkap Felo Kanan Institut Kajian Etnik UKM (KITA) iaitu Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong sehingga meminta agar Profesor disiasat kerana pada fikirnya Profesor bersifat perkauman.
Saya kenal rapat dengan Prof. Teo sejak lama dan saling berhubung tentang pelbagai isu bahasa, pendidikan dan perpaduan. Pandangannya bukanlah dikutip di tepi jalan atau lebuh raya utara selatan tetapi hasil penelitian, pengamatan dan kajiannya sebagai seorang ilmuwan yang sohor dalam bidang bahasa.
Antara yang diteliti termasuklah dalam media sosial seperti ujarnya bahawa komuniti Cina mempunyai persepsi negatif terhadap orang Melayu khususnya di samping India.
Menurutnya ini adalah norma biasa dalam kalangan keturunan Cina di Malaysia. Justeru janganlah Teresa cuba menutup bangkai seekor gajah dengan sebuah nyiru. Realiti sebenar dalam kehidupan bernegara di Malaysia wajib diakui dan diteliti.
Mengapa masalah perpaduan ( baca perkauman) masih kita bincang seolah-olah tak habis-habis walaupun negara merdeka sudah lebih 66 tahun? Tentu ada silapnya di mana-mana walaupun kita mengaku atau tidak.
Sama ada Teresa Kok akui atau tidak, majoriti lulusan sekolah vernakular keturunan Cina kurang atau enggan dan tidak fasih bahasa Melayu untuk berintegrasi dengan rakan lain khususnya Melayu. Mereka tidak fasih berbahasa Melayu kerana belajar sekadar memenuhi syarat wajib lulus peperiksaan.
Tidak lebih daripada itu. Setelah tamat, majoriti bekerja dengan syarikat keluarga atau pemilik keturunan Tionghoa juga. Bilakah mereka akan bergaul sebagai keluarga besar Malaysia dengan bahasa Melayu?
Maka itulah ditemui oleh Prof. Teo dalam salah satu kajiannya daripada kira-kira 2000 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari sekolah vernakular, majoritinya tidak faham langsung bahasa Melayu. Hanya beberapa orang sahaja yang faham bahasa Melayu itupun secara terhad.
Saya juga pernah alami seperti yang dihadapi oleh Prof. Teo. Dapatan itu amatlah memalukan dan sepatutnya tindakan susulan dan pembetulan wajib diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan dan lainnya.
Malangnya dapatan itu terbiar sebagai dapatan sahaja. Tiada usaha serius diambil termasuk oleh wakil rakyat yang berkaitan di Parlimen. Pelajar di sekolah vernakular majoritinya yang kurang cerdik (sudah tentu bukan semua) hanya pandai Mandarin dan terus sukar bergaul.
Baca artikel lain: Kerajaan diibarat burung tiung, turut saja apa kata ‘tuan’ – Abdul Hadi
Malah Prof. Teo dengan jujur turut mengaku yang Cina Peranakan sepertinya turut menerima tempias diskriminasi daripada majoriti Cina lain yang tidak berasimilasi dengan budaya tempatan.
Beliau tetap jujur dengan mengatakan yang Cina Peranakan juga memandang rendah komuniti Siam tempatan tetapi akhirnya sedar bahawa mereka lebih baik kerana status bumiputera tersebut.
Saya sendiri mempunyai banyak kenalan yang bertugas di sekolah vernakular. Sedikit sebanyak apa yang berlaku dalam realiti di sana dilaporkan dan diketahui umum.
Janganlah kita terlalu terpesona dan tenggelam dalam fatamorgana tentang banyak anak Melayu yang belajar di sana. Ini khususnya kerana lebih tertarik kepada usaha untuk menguasai bahasa Mandarin di samping prasarana yang lengkap dan seumpamanya.
Malah pernah terpahat sejarah sekolah vernakular menolak untuk menerima seorang guru besar walaupun keturunan Cina tetapi kurang fasih atau tidak tahu Mandarin.
Hal ini berbeza sekali dengan sebuah sekolah kebangsaan yang bersedia menerima seorang guru besar atau pengetua keturunan Tionghua. Guru-guru lain di sekolah vernakular yang tidak tahu Mandarin juga banyak yang bergantung ihsan rakan Cina untuk menterjemah isi mesyuarat, taklimat dan lain-lain yang tidak menggunakan bahasa Melayu walaupun semua acara itu tetap bersifat rasmi.
Di Parlimen sendiri dan dalam ucapan baru-baru ini, selepas 66 tahun merdeka masih terdengar ayat seperti terbulu-bulu, manyak, kasi diucapkan hatta oleh seorang menteri.
Ironinya, mereka tidak pula pelat berucap dalam bahasa Inggeris, seolah-olah telah lahir sebagai bayi Inggeris. Itu sudah dapat membuktikan sikap golongan itu terhadap bahasa negara ini sendiri yang tentunya dipandang rendah dan mereka lebih mengagungkan bahasa negara lain.
Justeru mungkin ada yang ingin bertanya sejauh mana kesetiaan mereka terhadap negara ini jika unsur jati diri dan asas bernegara di sini di kesampingkan? Bagaimanakah kita mahu memupuk kemahiran bahasa Melayu yang lebih baik jika tahap bahasa atau buku teks bahasa Melayu yang digunakan lebih rendah tarafnya daripada teks bahasa Melayu di sekolah kebangsaan?.
Mereka telah menolaknya, termasuk kemahiran tulisan jawi yang cuma tiga muka surat juga dibantah bermati-matian?
Malah baru-baru ini seorang menteri, Nga Kor Ming juga telah tidak menghormati saran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengutamakan dan memartabat bahasa Melayu dengan mencadangkan agar Pasar Payang ditukar kepada nama Central Market Terengganu yang pada fikirnya agaknya lebih gah?
Walaupun keturunan Tionghoa di Malaysia menolak asimilasi tetapi jelas boleh dilihat bagaimana asimilasi lebih baik untuk perpaduan. Slogan perpaduan dalam kepelbagaian atau “unity in diversity” selama 66 tahun ini hanya berjaya sekadar di kulit tetapi tidak meresap di jiwa dan sanubari.
Saya terlibat dengan meja bulat Kementerian Perpaduan membincangkan isu perpaduan kira-kira dua tahun lalu. Selama 66 tahun, negara ini ada kementerian khas untuk perpaduan, peruntukan berpuluh juta sejak merdeka, apakah hasilnya berbaloi berbanding dengan negara jiran Indonesia dan Thailand? Adakah Kementerian Perpaduan di Indonesia dan Thailand?
Seketika ada menteri yang menimbulkan isu tentang jawatan Perdana Menteri Britain dan Presiden Amerika Syarikat yang boleh diterima rakyat walaupun berkulit warna.
Soalan kita bagaimanakah sosok peribadi dan pemikiran tokoh terpilih tersebut, samakah dengan pemikiran manoriti rakyat di sini? Mereka telah menyerap budaya dan jati diri negara tersebut. Tanpa itu mereka tidak akan terpilih sampai bila-bila.
Mengenang kembali, alangkah sedihnya, pakar sejarah, mendiang Profesor Khoo Kay Kim yang sangat berjasa turut dibenci dan dihamun semasa kematiannya hanya kerana menyatakan tentang kebenaran dalam sejarah di negara ini yang mungkin pahit untuk diterima oleh segelintir rakyat negara ini.
Begitulah jika kebenaran yang pahit diucapkan. Tidak mustahil hal yang serupa berulang kepada Prof. Teo dan yang sepemikiran dengannya.
Kepada Teresa Kok dan semua yang sepemikiran dengannya, pesan saya terimalah hakikat kebenaran walaupun pahit dan janganlah terus hidup dalam penafian atau kepura-puraan. Adakah ada lagi kini di Malaysia, seorang Andre Goh dengan lagu Sayang Mas Merah, seorang Param dengan jenakanya dan Tauke Soh Chin Aun di padang bola dengan anak buahnya?
Kamal Shukri Abdullah Sani
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

