“Mohon kurangkan jumlah jaminan kerana ada banyak kucing yang perlu diberi makan,” demikian antara alasan seorang lelaki ketika merayu bagi pengurangan jumlah jaminan di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.
Sebelum itu, tertuduh, Erwan Abdul Ghani mengaku bersalah di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu atas pertuduhan memiliki dadah jenis Kanabis anggaran berat sebanyak 4.30 gram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Teratai Kampung Paya Jaras di Sungai Buloh sekitar jam 10 malam pada 5 Mac lalu.
Sejurus pengakuan bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 memandangkan laporan kimia belum diperoleh sebelum dijatuhkan hukuman.
Majistret Sasha Diana kemudian memberi kebenaran kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan sebelum lelaki itu memohon jaminan yang rendah kerana mempunyai tanggungan ramai termasuk memiliki kucing yang banyak.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Sasha Diana kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,800 selain menetapkan 7 Jun ini bagi menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

