KERAJAAN didesak supaya menjelaskan justifikasi Petronas memilih sebuah syarikat bukan bumiputera iaitu Solarvest Energy Sdn Bhd bagi memasang sistem kuasa solar di lebih 300 stesen minyak dan gas negara itu.
Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Amzad menegaskan, Petronas sepatutnya memberikan peluang kepada syarikat bumiputera memandangkan kewujudan Petronas itu sendiri adalah atas sokongan golongan bumiputera.
Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan keputusan berkenaan sedangkan banyak syarikat bumiputera yang berkepakaran dalam industri tenaga solar termasuk Gading Kencana Sdn Bhd dan Uzma Berhad.
“Ada kira-kira 60 syarikat bumiputera yang berdaftar di bawah Sustainable Energy Development Authority (SEDA) tetapi mengapa Petronas memilih untuk menganugerahkannya kepada syarikat bukan bumiputera tanpa tender.
“Saya difahamkan bahawa Petronas telah memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran terhadap pemasangan sistem solar itu.
“Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah tidak ada satu pun syarikat bumiputera dipanggil untuk mengemukakan tawaran tersebut. Ini adalah satu bentuk penindasan kepada golongan bumiputera,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Dua anak Malaysia galas tugas jurutera bendalir F1 Mercedes-AMG Petronas
Malah, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan telah mengajukan soalan tersebut dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dan meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, katanya, jawapan diberikan Rafizi terlalu umum, kabur dan tidak menepati soalan yang ditanya.
Beliau berkata, Rafizi hanya menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengenalpasti enjin-enjin pertumbuhan baharu untuk melonjakkan penyertaan ekonomi usahawan negara ke dalam rantaian nilai antarabangsa.
“Saya menzahirkan kebimbangan terhadap kemajuan syarikat bumiputera sekiranya penyertaan mereka dalam pelbagai sektor dan bidang tidak disambut baik oleh syarikat-syarikat gergasi kerana ia sepatutnya menjadi fokus utama semua pihak ketika ini.
“Justeru itu, saya mendesak agar syarikat bumiputera diberikan lebih ruang dan peluang untuk terlibat dalam sektor-sektor strategik kerana ini akan membantu melonjakkan ekonomi mereka seterusnya meningkatkan kadar pemilikan ekuiti bumiputera di Bursa Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan anak syarikat kepada cabang tenaga hijau Petronas, Gentari Sdn Bhd iaitu Gentari Renewables Sdn Bhd melantik Solarvest Energy untuk memasang sistem tenaga solar di lebih 300 stesen Petronas di seluruh negara.
Pemasangan itu dijangka bermula pada April ini dan akan menyaksikan pemasangan lebih daripada 5.4 MWp kapasiti solar di seluruh stesen Petronas seluruh negara.
Menurut Solarvest, projek yang dianugerahkan itu menandakan peristiwa penting dalam perjalanan peralihan tenaga Malaysia, menyumbang kepada matlamat tenaga bersih negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

