LESEN sebuah syarikat pengendali pakej umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dibatalkan berkuat kuasa 11 Mac ini.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan, pembatalan lesen syarikat itu selaras dengan perenggan 8 (1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Menurut MOTAC, Emraz Travel & Tours didapati telah melanggar syarat dan peruntukan Akta 482 itu.
“Syarikat itu juga menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bermula sekitar November tahun lalu, pihak polis menerima ratusan laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu.
Januari lalu, Dua pengarah Emraz Travel & Tours masing-masing didakwa atas 21 pertuduhan gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM589,031 antara Jun sehingga Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pengarah yang juga merupakan pasangan suami isteri, Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Baca artikel lain: Dua pengarah Emraz Travel mengaku tak bersalah gagal patuhi perintah tribunal pengguna
Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-63, syarikat dan pasangan itu selaku orang kena saman (OKS) pertama sehingga ketiga didakwa telah gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan mereka untuk membayar sejumlah RM589,031 kepada 21 orang mangsa.
Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di Aras 5, Podium 2, No 13, Persiaran Presint 2, Putrajaya antara 8 Jun 2023 sehingga 25 Ogos tahun sama.
Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pada 23 November lalu, media melaporkan pihak polis mendapati syarikat tersebut menggunakan duit jemaah umrah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.
Susulan tindakan itu, beberapa jemaah umrah yang menggunakan khidmat syarikat itu gagal untuk ke tanah suci sehingga mangsa-mangsa bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

