PELAKON Ruhainies menegaskan dia tidak ditangkap basah bersama aktor Aliff Aziz seperti yang didakwa orang ramai.
Menurut Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas,32, dia meminta orang ramai lebih berwaspada dalam menyebarkan cerita yang tidak tepat.
Jelas Ruhainies, penggunaan istilah tangkap basah yang menggambarkan situasi yang berlaku terhadap dirinya pada Sabtu lalu itu harus diperbetulkan kerana bimbang menimbulkan salah faham orang ramai.
“Ingin saya perbetulkan di sini, hati-hati dengan penulisan tajuk atau isi di dalam konten supaya tidak menimbulkan spekulasi lebih buruk, lebih mengelirukan dan mengeruhkan lagi keadaan.
“Ia sama sekali bukan tangkap basah,” kongsinya bersama paparan artikel berkaitan dalam hantaran di Instagram Story miliknya.
Dalam entri sama, Ruhainies turut meminta semua pihak tidak terus mengeluarkan sebarang kenyataan yang bukan daripada mulutnya sendiri.
Malah, Ruhainies mendakwa semua cerita yang keluar di media sosial bukanlah kejadian sebenar seperti yang ditularkan.
“Sehingga kini saya masih belum berikan apa-apa kenyataan. Segala yang dikeluarkan di media bukanlah ‘statement’ daripada saya dan ia tidak tepat.
“Saya mohon supaya media tidak menulis apa-apa yang boleh mengundang provokasi atau pun fitnah sehingga saya mengeluarkan kenyataan daripada saya sendiri.
“Saya mohon kerjasama semua pihak supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab,” tulisnya.
Ruhainies dan Aliff Aziz ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu serbuan di kondominium mewah di ibu negara pada Sabtu lalu.
Mereka emudiannya dibawa ke pejabat Jawi pada awal pagi, seterusnya dibebaskan dengan jaminan sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dalam masa terdekat.
Ruhainies dan Aliff juga dilaporkan meninggalkan pekarangan pejabat Jawi kira-kira pukul 2 petang, Sabtu lalu.
Selepas daripada kejadian itu, mereka berjanji akan memberikan keterangan dakam masa terdekat.

