MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli hari ini memberi jaminan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kekal selamat walaupun berhadapan dengan lebih dua juta cubaan menggodam setiap minggu.
Beliau berkata serangan berkenaan berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya Serangan Penafian Perkhidmatan Teragih (DDOS) dan sekatan firewall sejak sistem itu dilancarkan pada 2 Jan lepas.
“Saya boleh nyatakan PADU masih lagi selamat hasil tindakan pantas yang diambil pasukan pembangunan sistem.
“Kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan geofencing (teknologi pengesanan berasaskan GPS). Hanya capaian dalam Malaysia sahaja boleh mengemas kini PADU,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.
Rafizi berkata sebanyak 4,292,912 individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mewakili 19.5 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi Malaysia telah mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam PADU setakat 10 Mac.
“Kalau jumlah pendaftaran termasuk mereka yang berumur bawah 18 tahun adalah 5,946,708 orang iaitu 19.8 peratus daripada keseluruhan populasi negara,” katanya.
Rafizi berkata PADU akan diperkemas dengan kemampuan mengemas kini data secara masa nyata bagi membolehkan perkongsian data antara jabatan serta agensi dilakukan secara pantas dan automatik.
“Maknanya kalau ada sahaja kemas kini data di mana-mana kementerian dan jabatan, secara automatik ia akan dicerminkan dalam pangkalan data PADU.
“…Inisiatif ini diambil bagi menambah baik perancangan dasar dan pelaksanaan program berpandukan data untuk membolehkan rakyat menerima manfaat yang sewajarnya,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

