
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud:
‘’Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.’’
Seperti juga umat Islam lain di seluruh dunia, penduduk Islam di Selatan Thailand sudah pasti teruja untuk menyambut bulan penuh keberkatan iaitu Ramadan Al-Mubarak pada Selasa ini.
Mereka mahu mengisi hari-hari pada bulan Ramadan dengan mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah SWT di samping melaksanakan aktiviti mencari rezeki. Kedua-duanya itu mahu dilakukan dalam keadaan tenang, aman dan damai bukannya terus dibayangi dengan ketakutan.
Penduduk Islam di Selatan Thailand amat mengharapkan Ramadan kali ini penuh kedamaian dan boleh dijadikan permulaan untuk mewujudkan kedamaian berkekalan di wilayah tersebut.
Pemerintah Thailand memahami impian penduduk Islam atas sebab itulah awal-awal lagi mereka membuat persiapan untuk melaksanakan Program Ramadan Aman melalui rundingan damai yang diadakan pada 6 Februari hingg 7 Februari lalu di Kuala Lumpur.
Mereka mahu memastikan Pelan Komprehensif Bersama Menuju Keamanan (JCPP) dapat dilaksanakan segera sekaligus akan membolehkan Ramadan kali ini benar-benar damai tanpa ada sebarang pertumpahan darah.
Sama ada hasrat itu akan tercapai atau tidak, ia bukannya bergantung kepada pemerintah Thailand sebaliknya puak-puak pemisah atau perjuang yang akan menentukannya.
Bagi Pemerintah Thailand, mereka sudah membuktikan kesungguhan melalui pelancaran Pelan Ramadan Aman pada 26 Februari lalu yang diumumkan oleh Komander 4 Divisyen Tentera Darat dan Pengarah ISOC Region 4 Front, Kem Sirinthorn Pattanim, Leftenan Jeneral Santhi Sakuntanark.
Pelan itu telah disampikan kepada semua pihak terlibat termasuk tentera, polis dan penjawat awam di tiga wilayah Selatan Thailand.
Menurut Leftenan Jeneral Santhi, Pelan Ramadan Aman menyediakan perancangan sebelum, semasa dan selepas bulan suci itu dan beliau menegaskan, keamanan mesti diwujudkan dan tidak seharusnya ada sebarang keganasan di wilayah berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
Malah beliau juga memberi jaminan terhadap keselamatan penduduk Islam yang akan melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan.
Apa yang dilakukan oleh pemerintah Thailand melalui pasukan keselamatan negara itu bertepatan dengan keinginan dan kehendak penduduk Islam Selatan Thailand. Mereka mengharapkan Ramadan kali ini benar-benar aman bukannya hanya awal bulan sahaja aman tetapi penghujungnya dicemari peristiwa tembakan dan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan puak pemisah.
Penulis tersentuh apabila membaca laporan media di Selatan Thailand mengenai harapan penduduk Islam di sana sempena Ramadan. Mereka berhak beribadah dengan tenang di tanah air sendiri dan bukannya sentiasa dalam ketakutan seperti nasib rakyat Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis.
Di Selatan Thailand keadaan berbeza kerana penduduk Islam tidak ditindas atau didiskrimasi oleh pemerintah Thailand, sebaliknya kehidupan mereka sering sahaja terganggu akibat kejadian tembakan atau serangan yang dipercayai dilakukan oleh puak pemisah.
Paling menyedihkan penduduk Islam turut menjadi mangsa sedangkan puak-puak pemisah mendabik dada menyatakan mereka berjuang untuk kebebasan penduduk Islam, tetapi soalnya siapa yang melakukan keganasan tersebut?
Kejadian terbaru semalam di Rangae, Narathiwat apabila puak pemisah dipercayai menyerang seorang anggota RELA Aseng Kadir dan isterinya Nattayah Samoh, Aseng terbunuh manakala isterinya cedera.
Kes ini hanya contoh terbaru, hakikatnya sebelum ini sudah beribu-ribu nyawa terkorban atau cedera akibat keganasan di Selatan Thailand dan majoritinya angkara puak pemisah.
Oleh itu sempena Ramadan kali ini, puak-puak pemisah terutamanya Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang mendakwa menjadi wakil puak pemisah dalam Rundingan Damai dengan pemerintah Thailand benar-benar perlu mengotakan janji mereka untuk memastikan tiada lagi pertumpahan darah sepanjang bulan suci tersebut.
Kalau benarlah, BRN mempunyai kekuatan dan kuasa maka perlu memastikan keamanan dan kedamaian melimpahi Selatan Thailand sepanjang Ramadan bagi membolehkan umat Islam beribadah dengan tenang.
Jika di bulan suci itu berlaku juga kejadian seragan dan keganasan angkara puak pemisah terbuktilah BRN tiada apa-apa kekuatan dan tidak mewakili keseluruhan puak pemisah di wilayah itu, sebaliknya akan dianggap hanya berjuang untuk kepentingan peribadi pemimpin mereka sahaja.
Dan pada masa sama, pemerintah Thailand dan Malaysia sebagai fasilitator perlu mencari siapa lagi puak pemisah yang harus diajak di meja rundingan damai bagi memastikan, perundingan dilakukan dengan kelompok yang tepat sekaligus membuka jalan untuk mencapai kedamaian berkekalan di Selatan Thailand.

