
SAYA bersetuju dan menyokong hasrat kerajaan memberi bantuan secara bersasar. Bantuan kerajaan mesti sampai hanya kepada yang layak. Ini matlamat akhir PADU. Bukan untuk mencari siapa salah. Saya yakin ada cara yang lebih mudah dan pantas untuk PADU mencapai matlamat ianya diwujudkan.
YB Menteri telah umumkan kaedah pengiraan Pendapatan Boleh Guna Bersih (PBGB) bagi menentukan kelayakan menerima bantuan dari kerajaan, seperti berikut:
Pendapatan Boleh Guna Bersih (PBGB) = Pendapatan Boleh Guna (PBG) – Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW)
Parlimen dimaklumkan bahawa berdasarkan data pentadbiran sedia ada seperti pengisytiharan pendapatan (LHDN) dan survei perbelanjaan isirumah (DOSM) kerajaan sudah boleh menganggar PBG dan PAKW (makanan, pendidikan, kesihatan, sewa, pengangkutan, dan lain-lain) bagi sebuah isi rumah mengikut lokasi.
Menjawab soalan YB Dato Seri Wee Ka Seong, YB Menteri memaklumkan pengiraan PBGB tidak akan dipengaruhi oleh anggaran PAKW yang dibuat oleh individu yang berkemungkinan mempunyai corak perbelanjaan masing-masing. Data pentadbiran akan digunakan bagi memastikan kesetaraan dalam menentukan PAKW.
Ertinya kerajaan sudah boleh membuat anggaran PAKW. Bagi meningkatkan keyakinan rakyat, sebaiknya kerajaan umumkan lebih awal PAWK mengikut lokasi sebagai tanda aras perbelanjaan wajar bagi rakyat disetiap lokasi.
Dengan adanya tanda aras ini, ianya juga membantu dalam menangani kos sara hidup. Setidaknya, perkongsian ini juga menjadi semakan awal ketepatan anggaran PAKW oleh kerajaan.
Ringkasnya, kerajaan sebenarnya tidak perlu pengisian maklumat PBG dan PAKW dari rakyat. Kerajaan sudah pun ada maklumat ini. Pendapatan boleh guna bersih (PBGB) sudah pun boleh ditentukan.
Jalan lebih mudah, masukkan sahaja data-data pentadbiran ini ke dalam PADU dan mohon rakyat mengesahkannya sahaja. Hanya yang tidak bersetuju perlu memohon semakan. Lebih mudah dan lebih pantas.
Tidak perlu rakyat mengisi dan kemudian baru dipadankan dengan data pentadbiran yang telah pun ada. Pengesahan boleh dianggap berlaku sekiranya tiada kemaskini pada tarikh akhir, by default. Tiada yang merasa terpaksa. Apa pun niat kerajaan ialah untuk membantu rakyat yang susah dan memerlukan.
Maklumat lain yang tidak diperlukan untuk tujuan pengiraan PBGB, seperti pendidikan, perumahan, pinjaman dan beberapa yang lain adalah tidak perlu. Melainkan PADU mempunyai matlamat lain selain penentuan kelayakan menerima bantuan berdasarkan PBGB. Sempadan perkongsian maklumat antara rakyat-kerajaan perlu dihormati.
Baca artikel lain: Ringgit: Kejatuhan krisis vs kejatuhan daya saing
YBM turut memperjelaskan PADU juga membantu mengelakkan kesilapan terangkum (inclusion error), berlaku apabila orang yang yang tidak layak mendapat bantuan tetapi namanya ada dalam senarai penerima dan kesilapan tercicir (exclusion error), berlaku apabila orang yang layak mendapat bantuan tetapi namanya tiada dalam senarai penerima.
Kalau maklumat PBG dan PAKW sudah ada, bukankah PBGB sudah boleh ditentukan? Kedua-dua kesilapan ini sudah boleh dikenalpasti dan dapat diselesaikan.
YB Menteri membayangkan kes seorang yang berpendapatan tinggi memalsukan maklumat pendapatannya sedangkan data JPJ menunjukkan individu ini memiliki 5 buah kereta mewah.
Mengapa menunggu orang ini mengisi maklumat PADU, sekiranya data pentadbiran kerajaan sudah dapat mengesannya? Mungkin baik namanya diserahkan kepada LHDN untuk siasatan. There’s no need for surprise findings.
Keluarkan sahaja namanya dari senarai penerima tanpa menunggu orang ini mengisi maklumat PADU. Kesilapan terangkum sudah boleh dielakkan.
Kesilapan tercicir yang dirisaukan ialah orang yang memerlukan tetapi namanya tiada dalam senarai. Data pentadbiran sudah boleh mengenalpasti orang ini, masukkan sahaja namanya dalam senarai penerima. Kesilapan tercicir boleh diselesaikan dengan mudah.
Ada satu kategori rakyat yang masih tidak jelas. Bagaimana isirumah yang bekerja sendiri atau yang bekerja dalam sektor informal dapat dikenalpasti dan disahkan maklumat pendapatan mereka?
Kemungkinan besar maklumat mengenai pendapatan mereka tiada dalam data pentadbiran. Ramai yang tidak memiliki fail LHDN, mereka bukan pembayar cukai. Bagaimanakah pengesahan pendapatan mereka akan dibuat? Kerajaan perlu jelaskan perkara ini.
Sekiranya data pentadbiran sudah ada dan ianya boleh menentukan PBGB serta mampu mengelakkan kesilapan terangkum dan kesilapan tercicir, mengapa perlu tunggu PADU diisi? Mungkin soalan lebih pokok, mengapa perlu PADU? Maaf saya bertanya.
MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

