“TIDAK menghairankan, dia (Dr Muhamad Akmal Saleh) menjawab dengan mengatakan bahawa saya mungkin ‘mabuk’ atau ‘keliru’ tentang pembelaan terhadap sekolah vernakular.”
Itu kata P Ramasamy terhadap kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal ‘bertanyakan’ Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu dalam keadaan ‘mabuk’ apabila mengatakan bahawa sekolah vernakular bukanlah punca perpecahan kaum kerana perkara itu disebabkan kaedah politik yang diorganisasikan dalam negara ini.
Malah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu mendakwa Dr Muhamad Akmal cuba menjaja stereotaip perkauman bahawa dirinya sebagai seorang etnik India mungkin mempunyai kecenderungan terhadap alkohol.
Ramasamy menyifatkan Dr Muhammad Akmal membuat kenyataan dangkal dan perkauman berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Beliau turut mencabar Dr Muhamad Akmal supaya mendesak penutupan sekolah vernakular dan mahu melihat pandangan pimpinan DAP sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berbuat demikian.
“Saya menjangkakan (Dr Muhamad) Akmal akan menjawab secara rasional dan matang tentang hujah saya mengenai kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
“Akmal menggelarkan dirinya sebagai Ketua Pemuda UMNO, tetapi alangkah malangnya bagi ahli-ahli Pemuda UMNO apabila mempunyai pemimpin yang cuba mengelirukan mereka dalam satu subjek penting seperti kewujudan sekolah vernakular di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: ‘Kamu mabuk ke apa?’ kata Dr Akmal kepada Ramasamy isu sekolah vernakular
Sementara itu, Ramasamy sekali lagi menegaskan bahawa semangat mewujudkan sekolah vernakular telah didorong oleh diskriminasi etnik dan agama terhadap bukan Melayu yang dilakukan UMNO semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Pemimpin UMNO yang keliru dan salah maklumat seperti Akmal tidak memahami sejarah, mungkin versi hegemoni sejarah Melayu yang terpesong.
“Sekadar menyatakan, parti berdaftar, United for the Rights of Malaysian Party (Urimai) tidak ditakrifkan mengikut perkauman atau etnik.
“Berbeza dengan UMNO, keahlian (Urimai) terbuka kepada semua kaum, khususnya yang kurang bernasib baik dan terpinggir,” kata Ramasamy.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal membidas Ramasamy susulan kenyataan bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu bahawa sekolah vernakular bukan punca kepada perpecahan kaum, sebaliknya disebabkan belenggu politik kepartian berasaskan kaum.
Beliau menegaskan hal ehwal pendidikan tidak seharusnya diasingkan sekiranya mahu membentuk sebuah bangsa Malaysia.
Dr Muhamad Akmal turut mempersoalkan sama ada Ramasamy berada dalam keadaan mabuk apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.
Ramasamy yang keluar DAP pada 10 Ogos tahun lalu, kini memimpin Parti Urimai, parti baharu yang terbuka kepada semua bangsa, namun fokus kepada kaum India.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal mencadangkan supaya satu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata sebenar-benarnya perlu dihidupkan semula.
Kenyataan itu bagaimanapun disanggah Ramasamy yang mendakwa Dr Muhamad Akmal keliru berhubung isu polarisasi kaum apabila mendakwa sekolah vernakular sebagai punca masalah terbabit.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

