PELAKON terkenal, Bella Astillah menarik diri dari membintangi drama Terjerat setelah suaminya yang juga aktor Aliff Aziz terpalit dengan isu ditangkap khalwat bersama aktres Ruhainies, Sabtu lalu.
Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 33, menerusi hantara di platform Instagram peribadinya menyatakan ucapan terima kasih kepada penerbit drama tersebut iaitu Datuk Seri Jaspal kerana memahami situasi yang dihadapinya ketika ini.
Pelakon tersebut juga menyatakan bahawa jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, mereka akan bekerjasama lagi.
“Cerita semalam. Terima kasih Datuk Seri Jaspal. Terima kasih kerana memahami.
“Panjang umur ada rezeki, kita bekerjasama lagi. Salam Ramadan,” ujarnya.
Bella turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan dirinya telah dikeluarkan dari WhatsApp kumpulan drama Terjerat pada jam 4.56 petang semalam.
Terdahulu, adik kepada Bella iaitu Didi Astillah mengesahkan individu yang dicekup oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu adalah abang iparnya, Aliff.
Aliff dan Ruhanies dibebaskan dengan jaminan sementara menanti tarikh pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah.

