PELAKON Risteena Munim yang juga kakak kepada Ruhainies tampil menafikan pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak berada di hadapan rumah adiknya pada jam 3 pagi seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Sebaliknya kata Risteena, pihak Jawi berada di ruang legar pintu rumah adiknya itu sekitar jam 11 malam.
“Jam 11 malam lebih Jawi sudah sampai di rumah bukannya 3 pagi.
“Apa yang khilaf tetap khilaf. Saya percaya Aliff dan Ruhainies sedar tentang khilaf mereka dan telah mohon maaf.
“Siapa kita untuk menghukum mereka. Kebetulan malam itu memang rancang ke rumah Ruhainies. Jadi, saya hanya menjelaskan keadaan sebenar sekiranya perkara ini dapat diselamatkan dan tidak menjadi lebih buruk,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.
Pada hantaran sama, Risteena yang juga isteri kepada pelakon Isa Khan itu turut berkongsi tangkap layar perbualannya bersama Ruhainies menerusi WhatsApp.
Menerusi paparan skrin tersebut, mereka berdua merancang untuk makan malam bersama di kondominium mewah milik Ruhainies di ibu negara.
“Iya, saya sepatutnya berada di sana tetapi terlambat atas komitmen kerja dan kesesakan jalan raya.
“Saya sampai di rumah Ruhainies jam 11.30 malam,” tulisnya.

Risteena tampil berkongsi fakta yang sebenar selepas melihat ramai pihak yang cuba memanipulasi insiden Aliff dan Ruhainies yang ditangkap berkhalwat.
Malam tadi, Ruhainies dan Aliff tampil memberikan kenyataan berhubung isu khalwat pada Sabtu lalu.
Ruhanies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, mengakui kekhilafan di sisi agama kerana berada dalam situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka yang harus dielak.
Sementara Aliff pula memohon maaf kerana tidak menjangkakan situasi selepas dia bertindak masuk ke rumah Ruhainies.
Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Mereka dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang oleh Jawi pada Sabtu lalu.
Ketika ini mereka sedang menanti satu tarikh untuk dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah.
Dalam perkembangan lain, isteri Aliff iaitu pelakon Bella Astillah memfailkan cerai ekspres di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Isnin lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

