AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mendakwa dua syarat yang diletakkan oleh kerajaan menjadi punca Bersatu dan Pas menolak Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).
Kata beliau, syaratnya ialah pembangkang tidak boleh mengacau atau mengganggu-gugat sebarang usaha kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum kali ke-16 (PRU16) dan sesiapa yang melanggarnya akan didakwa di mahkamah.
“Maknanya pembangkang kena bersetuju apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan. Itu yang saya tahu secara umum. Saya tidak tengok (syarat-syarat perjanjian) secara teliti tetapi saya dimaklum macam itu. Maknanya, pembangkang tidak boleh ganggu kerajaan, walau apa pun kerajaan hendak buat, kita kena setuju.
“Satu lagi saya difahamkan, kalau langgar (perjanjian) boleh dibawa ke mahkamah dan boleh didakwa,” katanya lapor Sinar Harian.
Kelmarin, seorang ahli Parlimen Bersatu mendakwa kerajaan menawarkan CSA kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai balasan untuk peruntukan bagi kawasan yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Ketereh dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Khlir Mohd Nor berkata, sudah ada tawaran bagi Hamzah tandatangan untuk menyokong, namun terdapat syarat-syarat yang mesti dipatuhi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan pembangkang seterusnya berhubung perjanjian berkenaan, Rosol berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh Hamzah dan Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Kita serahkan atas kebijaksanaan mereka berdua, Hamzah dan Takiyuddin. Cuma kita nampak, apa yang berlaku sekarang secara tidak langsung menekan kawasan-kawasan Melayu melibatkan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, akan tertinggal. Ia sebab peruntukan tidak diberi kepada negeri-negeri itu, hanya beri kepada ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, sebagai ahli Parlimen pembangkang, mereka mempunyai peranan penting dalam semak dan imbang untuk setiap dasar yang dibentangkan oleh kerajaan.
“Sebagai semak dan imbang, (dasar) yang bagus kita sokong tetapi yang tidak bagus seperti menggugat bangsa dan agama, itu kita tidak sokong. Kedua, dengan tindakan yang dibuat, kita nampak apa yang pembangkang buat, semua akan diambil tindakan,” ujarnya.

