Pembantu tadbir MPK mengaku tidak bersalah terima kereta Honda sebagai rasuah

Dari Penulis

SEORANG pembantu tadbir kanan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini, atas enam pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekalan berupa bayaran ansuran sewa beli kenderaan bernilai RM90,000.

Yusliza Othman@Yusof, 51, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan, di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan daripada sebuah syarikat pembekalan berupa bayaran ansuran sewa beli kenderaan jenis Honda Stream bermula 2017 hingga 2022, sebagai balasan untuk dia memudahkan syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja pembekalan di MPK.

Bayaran ansuran kenderaan tersebut berjumlah RM1,068 sebulan, dibiayai syarikat pembekal terbabit yang mana kereta tersebut digunakan sepenuhnya oleh Yusliza.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Terdahulu, Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun Abdul Hayyi memohon jaminan rendah, memandangkan anak guamnya merupakan bapa tunggal kepada dua anak berusia 23 dan 18 tahun yang masih belajar, selepas isterinya meninggal dunia pada Oktober 2022 akibat kegagalan buah pinggang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan melarang tertuduh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat, sebelum 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 3 April ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tiga lelaki warga asing ditahan kes curi dan dadah

TIGA lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terbabit...

More Articles Like This