SETIAP kali bulan Ramadan, menu bubur lambuk Masjid India Kuala Lumpur sering menjadi bualan dalam kalangan peminatnya yang memilih ia sebagai juadah pilihan utama.
Pasti ramai mempersoalkan dan tertanya-tanya di mana istimewanya bubur lambuk ini yang begitu diminati warga kota berbanding juadah sama di kawasan lain?

Jawapannya terletak pada tradisi penghasilan yang sudah melebihi 100 tahun dengan menggunakan resepi istimewa dari Tamil Nadu, India.
Ketua tukang masak, Sathakthullah Hamid ,48, mendedahkan rempah ratus bubur lambuk ini diambil dari India termasuklah herba, kacang dal dan campuran briyani masala.

Oleh disebabkan itu, ujar beliau, warna bubur lambuk Masjid India Kuala Lumpur kekuning-kuningan berbanding juadah sama yang dihasilkan di tempat lain.
Selain itu, katanya yang berpengalaman 26 tahun memasak bubur lambuk berkenaan, persiapan awal amat dititikberatkan bagi memastikan 13 periuk bubur dapat diselesaikan setibanya waktu Zuhur.

Apa yang menarik, hanya tiga orang tukang masak ditugaskan untuk menyiapkan 13 periuk bubur lambuk berkenaan.
“Kos hampir RM5,000 diperlukan sehari untuk memasak lebih 130 kilogram beras, rempah ratus, sayuran dan bahan-bahan lain,” katanya ketika ditemui UtusanTV, hari ini.

Satu periuk bubur lambuk boleh menghasilkan sebanyak 350 bungkusan, di mana setiap hari pihak masjid mengedarkan 2,800 bungkus kepada orang ramai.
Manakala, bakinya disimpan khas buat 1,000 jemaah yang berbuka puasa di Masjid India Kuala Lumpur.

Kebiasaannya orang ramai mula beratur seawal pukul 3.30 petang dengan pihak masjid mengedarkan bungkusan bubur lambuk sekitar pukul 4.30 petang pada sepanjang bulan Ramadan.






