Menu tradisi bubur lambuk di sekitar kawasan Masjid India terus menjadi pilihan utama warga kota sebagai juadah berbuka puasa setiap kali Ramadan menjelma.
Tradisi berusia lebih seabad ini diwarisi daripada resipi masyarakat India, menjadikan bubur lambuk tersebut unik dengan campuran rempah ratus asli, herba, kacang dal serta adunan briyani masala yang kaya aroma dan rasa.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Persiapan memasak dimulakan seawal jam 8.30 pagi bagi memastikan sebanyak 13 periuk bubur lambuk dapat disiapkan sebelum jam 2.00 petang setiap hari.
Proses penyediaan melibatkan penggunaan lebih 130 kilogram beras selain campuran rempah ratus, sayur-sayuran dan bahan lain, dengan anggaran kos harian mencecah RM6,000 sepanjang bulan Ramadan.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Menurut pihak pengurusan masjid, setiap periuk mampu menghasilkan kira-kira 350 bungkus bubur lambuk. Secara keseluruhan, hampir 3,000 bungkus diagihkan kepada orang ramai setiap hari, manakala selebihnya disediakan khas untuk kira-kira 1,000 jemaah yang berbuka puasa di Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Orang ramai dilihat mula beratur seawal jam 3.30 petang bagi mendapatkan juadah tradisi itu, sebelum agihan rasmi bermula pada jam 4.30 petang setiap hari sepanjang Ramadan.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan sambutan hangat terhadap bubur lambuk yang bukan sahaja menjadi hidangan berbuka, malah simbol perpaduan dan kemeriahan Ramadan di ibu kota.
Tradisi memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi menjadi lambang kebersamaan masyarakat serta semangat gotong-royong dalam menyantuni golongan memerlukan sepanjang bulan yang mulia.

GAMBAR: Abd Razak Aid

GAMBAR: Abd Razak Aid

GAMBAR: Abd Razak Aid

GAMBAR: Abd Razak Aid

GAMBAR: Abd Razak Aid

