ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 2,524,902.79, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Mohamed Khaled, jumlah itu adalah hasil daripada 93 sumbangan yang mana 82 daripadanya berupa sumbangan berbentuk kewangan, dua secara sumbangan kewangan dan barangan manakala sembilan lagi dalam bentuk barangan.

“Untuk makluman semua, jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak 41 peratus berbanding sumbangan yang diterima pada tahun lalu.
“Kepada para penyumbang individu dan korporat yang terlibat, terima kasih kerana terus bersama-sama dengan Kementerian Pertahanan dalam menjayakan program ini.
“Ia adalah satu pengiktirafan dan penzahiran kepercayaan kepada keupayaan dan keberkesanan pihak Kementerian dan ATM dalam menguruskan segala sumbangan dengan telus dan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memaklumkan, sebanyak 15,000 beg hari raya bersama barang telah disediakan pada tahun ini.
Katanya, kesemua beg itu akan diagihkan kepada anggota-anggota ATM yang bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan negara pada hari lebaran nanti.
Baca juga: Notis kekosongan DUN Kuala Kubu Baharu dimaklum masa terdekat

“Ia merangkumi anggota yang bertugas di perbatasan negara sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara di bawah misi panji-panji PBB.
“Insya-Allah, kita akan pastikan sumbangan hari raya yang telah disediakan ini akan dapat dihantar ke destinasi sama ada di dalam mahupun di luar negara sebelum menjelangnya hari raya Aidilfitri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, sumbangan itu juga membuktikan wujudnya minat dan kemahuan pelbagai pihak untuk bersama-sama menjayakan misi membangunkan ekosistem pertahanan negara yang baik dan berkebajikan untuk semua.
Katanya, perkara itu selari dengan dasar dan pendekatan kementerian yang mahu melibatkan semua pihak dalam usaha memperkasakan ekosistem pertahanan negara.
Untuk rekod, barangan sumbangan yang diterima telah dilaksanakan pembungkusan semula oleh ahli-ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anggota ATM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

