NOTIS kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dijangka dimaklumkan kepada Pejabat Speaker DUN Selangor pada Isnin depan.
Ia berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan Lee Kee Hiong semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, tumpuan diberikan kepada proses pengebumian terlebih dahulu yang akan dilaksanakan pada 25 Mac ini.
“Selepas ini kita kena bersedia untuk mengisi kekosongan (kerusi) dan kita tunggu pengumuman pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita selepas Program Mahabbah Ramadan MADANI bersama penjawat awam Selangor, hari ini.
Amirudin berkata beliau telah mengamanahkan kepada Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin untuk memantau kawasan DUN berkenaan selain mengatur dan membuat persediaan selepas dimaklumkan mengenai tahap kesihatan Lee yang semakin merosot kira-kira sebulan lepas.
Baca artikel lain: ADUN Kuala Kubu baharu meninggal dunia
“Saya berharap YB (Yang Berhormat) Jamaliah boleh bantu atur perkara ini dalam tempoh ke depan sebelum ia dimuktamadkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak,” katanya.
Mengenai sama ada calon DAP dikekalkan dalam PRK akan datang, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu berkata secara tradisinya kerusi DUN Kuala Kubu Baharu adalah milik parti berkenaan.
“Sudah pasti kita perlu bincang dan muktamadkan. Setakat ini, 70 peratus yes (ya) kecuali ada arahan lain. Sekarang ini kita nak tumpu pengebumian yang dijangka berlangsung pada Isnin ini, lepas itu baru kita tumpukan pada PRK,” katanya.
Semalam, Amirudin mengesahkan ADUN Kuala Kubu Baharu meninggal dunia dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Pada Pilihan Raya Negeri Selangor lepas, Lee mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu bagi penggal ketiga sejak menang di kerusi itu pada 2013.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

