PENYANYI Nabila Razali berkongsi perasaan gementar saat pertama kali menyediakan menu sahur buat suami tercinta.
Walau bagaimanapun, sebagai seorang isteri mithali, Bella atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali,31, perlu menggalas tugas dalam menyediakan juadah buat suaminya, Nik Iruwan Nik Izani,39, sepanjang Ramadan ini.
Menurut Bella, seawal jam 2 pagi, dia sudah mula masuk dapur untuk mula memasak menu bersahur.
“Bella takut terlambat atau terlajak. Jadi lebih baik awal daripada terlambat.
“Bella tak nak pengalaman tak menarik. Jadi hari pertama Bella masak jam 2 dan sahur pada jam 3, selepas tu tidak tahu nak buat apa.
“Hari seterusnya tu, baru Bella belajar, jadi mungkin Bella boleh ‘adjust’ masa sikit lah. Sebab kita barukan (berkahwin). Jadi, kita nak masak tu pun takut, sempat ke?,” katanya kepada URTV.
Dalam perkembangan lain, Bella bersyukur kerana tahun ini berpeluang melancarkan single raya berjudul Raya Mana? selain beberapa projek khas sempena kedatangan Syawal tak lama lagi.

“Bella ni bersyukur sangat-sangat, rasa rezeki selepas berkhawin macam lain sikit. Alhamdulillah, Bella baru keluarkan lagu raya baru berjudul Borak Raya Bella, biskut Konfleks Madu dan juga tudung. Insyallah, bukan hanya di bulan puasa tapi akan berterusan.
“Insyallah, selepas ini akan masuk set penggambaran untuk berlakon dan sambung semula perniagaan,” kongsinya mengenai karier seninya.
Berkongsi lanjut mengenai single Raya Mana? yang merupakan ciptaan komposer Ezra Kong itu juga hadir dengan sebuah video muzik menerusi saluran Youtube Warner Music Malaysia.
Menurut Bella, jalan cerita yang disampaikan dalam video muzik itu adalah luahan hatinya kerana ia adalah tahun pertama mendirikan rumah tangga dan beraya bersama suami.
Perkara ini menurut Bella membuatkannya sedar bertolak-ansur adalah kunci utama rumah tangga kekal harmoni.
Malah, turut menjadikan persoalan raya di mana bakal terjawab menerusi video muzik tersebut.

“Jalan cerita pun Bella gembira sangat kerana memang berkaitan dengan persoalan apa yang ada di hati Bella. Ini merupakan tahun pertama Bella raya berdua. Sebelum ni dengan keluarga.
“Jadi bukan Bella sahaja tertanya-tanya, tapi kawan-kawan juga. Tahun ni dah khawin, raya mana?.
“Jadi Insyallah tahun ini, Bella raya dekat mana tu, terjawab dekat dalam video muzik,” ujarnya.
Raya Mana? cukup ‘catchy’ dan menceritakan tentang dilema para isteri yang baru mendirikan rumah tangga membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman menyambut Lebaran di sebelah suami atau keluarganya sendiri.
Untuk rekod, Nabila dan Nik Iruwan bernikah pada 18 November tahun lalu dalam majlis yang berlangsung secara tertutup di sebuah hotel di Pahang.

