Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin, Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid gagal dalam permohonan untuk mendapatkan pasport secara kekal selepas di hadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

ISTERI bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hari ini gagal untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Na’imah selaku pemohon, bagi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta.

“Tindakan Hakim Mahkamah Sesyen sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku. Mahkamah sahkan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen dan menolak permohonan ini,” kata hakim itu.

Pada 23 Januari, Na’imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Hakim Ahmad berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa raya, bahawa tidak ada jaminan pemohon (Na’imah) tidak melarikan diri jika pasport tidak ditahan di mahkamah.

“Mahkamah berpendapat bahawa flight risk (larikan diri) kemungkinan berlaku, kerana Tun Daim sedang sakit dan mungkin perlukan perubatan di luar negara dan pasportnya tidak ditahan di mahkamah. Jika pasport pemohon ada bersamanya, kemungkinan risiko untuk flight risk lebih tinggi yang mana pemohon ke luar negara dan tidak kembali.

“Sekiranya pemohon ingin ke luar negara untuk membawa suami (Daim) bagi tujuan perubatan, seperti pendakwa raya katakan, pemohon boleh membuat permohonan dan ia akan diuruskan dengan segera,” katanya dan menambah syarat tambahan pasport adalah untuk memastikan pemohon hadir pada prosiding di mahkamah.

Baca artikel lain: SPRM beku akaun dan serbu rumah Akbar Khan, siasatan kes rasuah Tun Daim

Hakim itu berkata kes membabitkan personaliti antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang pernah didakwa di mahkamah juga dikenakan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Penahanan pasport di mahkamah untuk beberapa kes sebagai satu bentuk keselamatan,” katanya.

Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Sesyen telah melanggar hak Na’imah di bawah Perlembangaan Persekutuan, Hakim Ahmad berkata hak Na’imah sebagai warganegara berubah selepas beliau didakwa di mahkamah.

“Keadaan berubah daripada rakyat biasa kepada tertuduh. Hak muktlak pemohon terhadap pasportnya telah berubah,” katanya.

Pada 29 Januari, suami beliau yang berusia 85 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram