ISTERI Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan sebarang bentuk cubaan atau rancangan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Na’imah dalam kenyataan menyifatkan terkejut dengan laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan beliau terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Beliau mendakwa, individu yang membuat laporan polis itu telah mendekatinya dan menawarkan perkhidmatan pada Julai 2025 sebagai sebahagian daripada cadangan pasukan komunikasi.
Na’imah turut menegaskan, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah melucukan dan langsung tidak masuk akal.
Bagaimanapun, isteri bekas Menteri Kewangan itu mendakwa, individu tersebut telah ditamatkan perkhidmatan ekoran prestasi tidak memuaskan.
“Selepas khidmatnya ditamatkan, beliau cuba membuat tuntutan kewangan tambahan. Jelas sekali ini adalah tingkah laku seorang lelaki yang tidak berpuas hati.
“Bukan sahaja laporan polis itu palsu dan tidak masuk akal tetapi ia timbul selepas tujuh bulan mesyuarat itu didakwa berlaku dan ketika kerajaan berdepan dengan salah satu skandal terbesar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Na’imah menyifatkan cubaan mengaitkan dirinya dengan dengan pendedahan laporan media antarabangsa, Bloomberg melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana seorang individu boleh menggulingkan kerajaan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam semata-mata.
Tegasnya, langkah mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.
“Akhir sekali, adalah tidak munasabah untuk menyimpulkan pendedahan rasuah dan salah guna kuasa pada peringkat tertinggi kerajaan sebagai percubaan menjatuhkan kerajaan.
“Saya mengekalkan semua hak perundangan saya terhadap dakwaan palsu dan merosakkan ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.
Mohd Khalid dalam kenyataan mengesahkan telah menerima laporan mengenai perkara itu.
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

