[VIDEO] Lama menyepi, Qalam Band muncul dengan Raikan Raya 

Dari Penulis

LEBIH lima tahun tidak muncul dengan sebarang karya baharu, akhirnya Qalam Band kembali dengan Raikan Raya sempena kedatangan Aidilfitri kali ini. 

Teruja dengan peluang yang diberikan kepada mereka, pastinya perasaan ketiga-tiga ahli kumpulan ini bercampur baur menantikan reaksi daripada peminat. 

Sebenarnya agak lama Qalam Band ‘menyepikan diri’ daripada industri muzik tanah air. Nama mereka pernah menjadi siulan dan sebutan anak muda pada 2017 apabila lagu Hakikat Seorang Pencinta menangkap halwa telinga sebahagian peminat setia mereka. 

“Memang kami menyepikan diri seketika waktu itu tapi tidak bermakna kami hilang. Masa itu masing-masing mempunyai komitmen dan tanggungjawab kepada pelajaran, kami kena perlahankan kerjaya seni seketika. 

“Tapi sekarang apabila semuanya sudah boleh membahagikan masa, barulah kami bersatu kembali dengan mencuba nasib dengan lagu raya. 

“Harapnya peminat menerimanya dengan baik sekali gus menaikkan semula nama Qalam Band,” kata Eynol yang juga merupakan vokalis kumpulan ini. 

Menariknya, Raikan Raya merupakan lagu hasil ciptaan Faizwan yang juga merupakan gitaris manakala lirik pula ditulis oleh Mukhrizad yang bertindak selaku pemain bass.

Lari daripada kebiasaan, mereka memilih tema zapin sebagai nuansa untuk buah tangan kali ini disebabkan mahu mengangkat kembali irama berkenaan ke tempat yang sepatutnya. 

“Apabila mahu kembali kepada industri, kami berfikir mahu mencari sesuatu yang istimewa untuk pendengar. Jadi hasil perbincangan akhirnya kita memilih rentak zapin sebagai pertaruhan memandangkan sudah tidak banyak lagi lagu raya berentak sedemikian. 

“Istimewa irama tradisional ini memang lain daripada yang lain. Kami sengaja memilih zapin kerana ingin menerapkan kembali rasa cinta kita kepada rentak tradisi agar tidak lapuk ditelan zaman. 

“Tetapi saya juga bereksperimentasi rentak zapi dengan menggabungkan irama salsa yang popular dari Barat pada bahagian korus,” kata Faizwan. 

Mengimbas kembali perjalanan seni kumpulan ini, Qalam Band yang berasal dari Perak ini dianggotai oleh lima orang ahli saat mereka mula menapak dalam industri hiburan lebih sedekad lalu. 

Mempertaruhkan Dilamun Rindu sebagai single pertama pada 2012, mereka tidak menoleh kebelakang lagi apabila terus menghasilkan beberapa produk lain. 

Namun kini, hanya Eynol, Faizwan dan Mukhrizad yang meneruskan legasi Qalam Band. 

Bercerita mengenai proses rakaman pula, Eynol menjelaskan yang mereka tidak berhadapan dengan masalah besar memandangkan segala persiapan sudah di buat terlebih dahulu sebelum masuk ke studio.

“Memang semua orang teruja nak masuk semula ke studio rakaman. Kami sendiri dah lama tak ada lagu baharu. 

“Bila dapat buat projek ni, masing-masing gembira dapat bikin video muzik dan sebagainya. 

“Setidaknya kami sudah mengubat kerinduan peminat yang selalu bertanya bila lagi Qalam Band nak buat single baharu. Ini pun sudah cukup menggembirakan mereka,” tambahnya lagi. 

Raikan Raya yang mula dilancarkan bermula hari ini di seluruh platform digital merupakan kerjasama antara Sheikh Qalam Records dan Sony Music Malaysia. 

Video muzik lagu ini pula boleh ditonton melalui YouTube Sony Music Vevo. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Mahu Menang Jongkong Emas Fizikal? Ini Cara Sertai Peraduan Ulang Tahun Ke-14 JustMarkets

PLATFORM JustMarkets mengumumkan pelancaran peraduan mega Great Anniversary Contest sempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-14.  Kempen gergasi yang menawarkan...

More Articles Like This