ORANG ramai dinasihatkan untuk berkongsi perbezaan pandangan dengan baik dan mengelakkan sebarang bentuk kejian serta fitnah berhubung isu gelaran kafir yang sedang hangat ketika ini.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, masyarakat juga dinasihatkan untuk lebih menumpukan kepada ibadah dan tidak menimbulkan banyak polemik berpanjangan yang membawa kepada natijah tidak baik kepada keharmonian masyarakat di bulan Ramadan ini.
Jelas beliau, polemik yang berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik akan menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada perbalahan serta perpecahan.
Katanya, sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab tidak menguntungkan umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan umat.
“Dalam isu yang melibatkan keagamaan, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah.
“Penggunaan istilah-istilah hukum hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga: Jangan label Ahli Parlimen lain kafir, zionis dan yahudi, tegas Johari
Mengulas lanjut mengenai perkataan kafir, Luqman berkata, gelaran itu merupakan kalimah dalam bahasa arab dan banyak disebut dalam al-Quran dan hadis dengan pelbagai pecahan kata sebanyak lebih kurang 310 tempat.
Katanya, kafir merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul serta telah termaktub dalam al-Quran dan hadis.
Menurut beliau, kafir adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya.
“Walau bagaimanapun, penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah.
“Merujuk kepada video yang tular, adalah tidak adil untuk terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.
“Masyarakat perlu mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

