BANTUAN Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam yang diumumkan hari ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa terbuka mendengar pandangan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang bersetuju menyalurkan bantuan tersebut.
Menurut beliau, ini kerana pada awalnya terdapat khabar bahawa kerajaan tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan khas untuk Aidilfitri memandangkan penjawat awam telah menerimanya pada Februari lalu.
Pada masa sama, beliau berkata, bantuan khas Aidilfitri itu juga merupakan manifestasi penghargaan Perdana Menteri kepada usaha keras penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.
“CUEPACS sebelum ini juga telah beberapa kali mencadangkan kepada kerajaan agar tradisi memberikan bantuan khas untuk Aidilfitri diteruskan pada tahun ini.
“Alhamdulillah pada akhirnya Perdana Menteri telah memberi pertimbangan yang wajar bagi membantu penjawat awam.
“CUEPACS yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan pada hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Duit raya RM500 untuk penjawat awam, RM250 kepada pesara – PM
Mengulas lanjut, Adnan turut berharap penjawat awam akan terus memberi komitmen yang penuh dalam memberikan perkhidmatan tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara.
Jelasnya, CUEPACS memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan dalam keadaan ekonomi ketika ini.
Beliau juga percaya bantuan khas yang diterima penjawat awam itu turut memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.
“Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.
“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sempena Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar Jumaat ini.
Turut mendapat bantuan khas itu adalah pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.
Bantuan khas itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan, walaupun bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 telah disalurkan pada 23 Februari lepas.
Sebelum ini, CUEPACS menggesa supaya kerajaan meneruskan tradisi pemberian bantuan itu yang dilaksanakan sejak 10 tahun lepas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

