SATU moratorium jangka pendek telah dikeluarkan bagi menghalang sebarang pemasangan struktur pentas melibatkan persediaan konsert di atas rumput Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Moratorium itu dilaksanakan sehingga keadaan rumput di SNBJ itu mencapai tahap yang lebih baik.
Perkara itu dikongsikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) susulan mesyuarat post-mortem bagi membincangkan keadaan padang SNBJ semasa perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman, bulan lalu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John pada 1 April lalu.
Menurut PSM, moratorium itu telah dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Susulan daripada hasil post-mortem, Hannah mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di atas rumput sehingga keadaan rumput mencapai tahap yang baik.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada penganjur konsert pada sesi dialog antara Menteri (Hannah) dan penganjur konsert semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: PSM adakan mesyuarat post mortem padang SNBJ minggu depan
Mengulas lanjut, PSM memberitahu, sesi dialog berkenaan turut membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menyediakan fasiliti yang lebih sempurna.
“Penganjur masih boleh membuat tempahan namun sebarang struktur pentas dan menara bunyi adalah dilarang di atas padang.
“Ini merupakan langkah untuk tidak menjejaskan rumput di SNBJ dan memastikan rumput berada dalam keadaan optimum untuk perlawanan bola sepak akan datang,” katanya.
Sebelum ini, PSM memberitahu satu mesyuarat post mortem padang SNBJ akan diadakan bersama juruperunding dan kontraktor padang itu.
Isu melibatkan keadaan padang dan rumput SNBJ terus mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Perkara itu menjadi buah bicara lebih-lebih lagi selepas pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad mengalami kecederaan yang dikatakan berpunca daripada keadaan padang berkenaan.
26 Mac lalu, Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sekali lagi tewas kepada Oman 0-2 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang dilangsungkan di SNBJ.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

