KUMPULAN Dolla mengumumkan pengunduran diri salah seorang ahlinya iaitu Syasya.
Syasya atau nama sebenarnya Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 23, mengambil keputusan tersebut atas faktor peribadi.
Salah seorang ahli iaitu Tabby akui cukup sedih dengan keputusan yang dibuat oleh Syasya namun pada masa sama akan terus memberikan sokongan terhadap karier seninya.
“Tentulah kami berasa sedih dengan perkembangan ini, tapi kami sudah sepakat akan memberikan sokongan penuh kepada Syasya walau apa jua keputusannya,” katanya.
Selain itu, Sabronzo dan Angel pula berkata, mereka tetap akan memberikan komitmen penuh untuk menjayakan segala perancangan Dolla sebagai kumpulan.
“Hubungan kami sangat erat dan kami tetap anggap Syasya sebagai keluarga Dolla.
“Persahabatan yang dibina selama ini tidak akan terputus begitu saja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, walaupun pihaknya berat hati menerima keputusan Syasya tetapi tetap menghormati pendiriannya.
“Kami sentiasa mengharapkan yang terbaik buat Syasya. Sementara itu, tiga lagi ahli kumpulan Dolla iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby, akan meneruskan perjuangan seni buat peminat di dalam dan luar negara.
“Malah, tahun ini pihak Universal Music Malaysia telah membuat pelbagai perancangan untuk memastikan kumpulan ini menempah nama di persada muzik Asia Tenggara dan kami tetap akan meneruskan perancangan tersebut,” katanya menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada pihak media sebentar tadi.
Baru-baru ini, Dolla telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam satu rancangan baharu di China iaitu Show It All yang menampilkan Lay Zhang, ahli kumpulan EXO sebagai penerbit eksekutif.
Rancangan ini disiarkan melalui salah satu stesen televisyen utama negara tersebut MangoTV.
Dolla yang ditubuhkan pada 2019 di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan single pertama berjudul Dolla Make You Wanna’ yang dilancarkan pada 20 March 2020.
Sehingga kini, Dolla telah mengeluarkan enam single solo termasuk hits seperti Impikan, BAD, dan satu album penuh berjudul New Classic pada November 2023.
Kumpulan yang turut dianggotai oleh Angel, Sabronzo dan Tabby ini pernah merangkul Anugerah Top Meletop Kumpulan/Duo di Anugerah MeleTOP Era 2021, selain dinobatkan sebagai Kolaborasi/Artis Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) 2022 serta Lagu Trending Tergempak dan Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2023.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

