PENGACARA terkenal, Hawa Rizwana memanfaatkan sepenuhnya solat tarawih sepanjang bulan Ramadan bagi mengekalkan tubuh badan ideal.
Hawa atau nama penuhnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 30, menyatakan bahawa dia seorang yang suka makan namun sempena Ramadan ini, dia berusaha untuk konsisten mendapatkan berat badan sesuai.
Menurut Hawa, sejujurnya, tahun ini adalah kali pertama dia mengerjakan ibadah solat tarawih sebanyak 20 rakaat berbeza dengan sebelum ini yang hanya lapan rakaat.
“Saya suka makan, sejujunya tahun ini pertama kali Hawa buat 20 rakaat, sebab sebelum ni hanya lapan rakaat sahaja.
“Saya fikir kalau kita boleh bersenam kenapa tidak boleh buat sampai 20 rakaat jadinya saya cuba.
“Saya bersenam jugalah sebab kita dah makan malam dan seterusnya akan berlari.
“Agak susah sebab bukan setiap hari saya dapat buat solat tarawih 20 rakaat sebab ikut waktu bekerja.
“Kadang sampai rumah dah jam 10 atau 11 malam. Jadi, kalau rasa ralat, saya akan cuba. Saya rasa rugi walaupun buat lapan rakaat sahaja. Saya pun nak jadi manusia yang terbaik. Insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, Hawa turut memberitahu status dirinya saat ini masih lagi bujang dan tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Belum lagi…belum ada rezeki untuk bersuami,” ujarnya kepada URTV semasa Sidang Media dan Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2024 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Hawa bakal pulang ke kampung halaman di Subang Jaya bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Malah, tahun ini juga dia memilih rona biru sebagai busana raya kali ini.

