Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Aidilfitri Kerajaan Perak

Dari Penulis

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia hari ini.

Keberangkatan tiba baginda jam 3.10 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, selain barisan EXCO kerajaan negeri dan beberapa kenamaan.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pada majlis hari ini, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni rumah kebajikan anak yatim.

Ia membabitkan Pusat Jagaan Darus Salam di Ipoh, selaibn Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pusat Jagaan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah dan Pusat Jagaan Persatuan Anak-Anak Yatim Soleha di Tanjung Tualang.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian berkenan meninjau suasana majlis di perkarangan stadium sambil beramah mesra dengan pengunjung.

Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah disediakan antaranya sate, kebab, nasi himpit, kuetiau, ketupat, lemang, rendang, kambing golek dan minuman.

Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata sambutan petang ini membuktikan kemajmukan budaya, kaum dan agama yang menjadi simbol keunikan rakyat Malaysia selama ini tidak pernah menjadi halangan kepada keharmonian serta keamanan di Malaysia.

Beliau berkata, jurang perbezaan antara kaum tidak pernah mengekang masyarakat untuk bersama-sama menjulang dan memaknakan semangat muhibah dengan menikmati kemeriahan serta kemanisan Aidilfitri pada setiap tahun.

“Semangat muhibah itu juga dirasai setiap kali kita meraikan perayaan-perayaan kaum lain kerana majoriti rakyat Malaysia masih percaya bahawa bibit-bibit perpaduan yang disemai daripada kecil sehinggalah kita menginjak usia dewasa, adalah kunci kepada kemakmuran dan kesejahteraan sebuah negara,” katanya.

Pada masa sama, Saarani berkata seruan mempertahankan nilai perpaduan kini kembali bergema tatkala masyarakat sejak kebelakangan ini sering kali terheret dalam isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Menurutnya polemik dan perdebatan yang timbul mencetuskan prasangka dan kesangsian sehingga menguji semangat toleransi dalam kalangan rakyat.

Lebih parah, katanya platform media sosial yang sepatutnya menjadi pelantar bagi menyebar nilai perpaduan dan kasih sayang kini dijadikan sarang untuk menanam bibit persengketaan, memacak duri permusuhan, meniup bisikan mengadu domba serta memercik api kebencian.

“Maka pada hari yang mulia ini, sama-samalah kita memasang tekad dan kesungguhan untuk membina kesatuan dan memelihara nilai-nilai perpaduan. Sesungguhnya keamanan yang dikecapi hari ini terlalu mahal harganya dan tiada galang ganti,” katanya.

– BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This